
Presidennya, Rosli Sulaiman, berkata walaupun belum ada premis perniagaan dalam gabungan itu yang ditutup, ramai peniaga kini terpaksa mengurangkan kos operasi susulan penyusutan pendapatan.
“Ketika ini ramai peniaga sudah kurangkan perbelanjaan operasi dan rata-rata mengalami pengurangan pendapatan.
“Kalau dulu untung RM100, sekarang tinggal RM60. Jadi memang berlaku penyusutan pendapatan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menyarankan PBT di seluruh negara mempertimbangkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan, gerai dan medan selera di bawah seliaan mereka sehingga hujung tahun ini.
Nga berkata langkah itu adalah usaha proaktif kerajaan bagi menjaga kebajikan rakyat serta membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi.
Katanya, inisiatif pengurangan sewa itu juga akan melengkapkan pelbagai usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat dan komuniti peniaga kecil.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, berkata pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sewa komersial serta cukai dividen berisiko menjejaskan manfaat daripada pengurangan sewa tersebut.
Katanya, Samenta menggesa pelaksanaan cukai berkenaan ditangguhkan sehingga 2027 supaya bantuan berkaitan pengurusan sewa premis dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Samenta menghargai langkah yang diperkenalkan setakat ini termasuk sokongan dana tambahan, had jaminan lebih tinggi di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan pengumuman pengurangan sewa hari ini.
“Namun, dua halangan utama dari segi kos bagi PMKS ialah SST ke atas sewa dan cukai 2% ke atas dividen,” katanya.
William berkata keseriusan situasi itu dapat dilihat menerusi tinjauan kilat terbaru Samenta yang menunjukkan tekanan semakin memuncak terhadap PMKS.
Menurutnya, sebanyak 93% responden mengakui terkesan dengan kenaikan kos operasi manakala 38% melaporkan peningkatan kos melebihi 11%.
“Walaupun kos meningkat, hanya 17% PMKS telah menaikkan harga jualan.
“Sebanyak 45% kini bertahan dengan memotong margin keuntungan yang sememangnya nipis, manakala 14% masih tidak pasti bagaimana mahu meneruskan kelangsungan perniagaan dalam keadaan kos yang terus meningkat,” katanya.
Selasa lalu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menggesa PBT dan kerajaan negeri di seluruh negara mengurangkan kadar sewa premis di bawah seliaan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, berkata langkah itu penting bagi membantu peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro bertahan susulan peningkatan kos operasi yang kini mencecah antara 7% hingga 58% daripada keseluruhan kos perniagaan mereka.