PBT disaran kurang sewa premis niaga hingga hujung tahun

PBT disaran kurang sewa premis niaga hingga hujung tahun

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata ia dapat membantu peniaga kecil dan memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna.

medan selera
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia dapat menjaga kebajikan rakyat dan membantu komuniti penjaja serta peniaga kecil yang berdepan peningkatan kos operasi.
PUTRAJAYA:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara disaran mempertimbangkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan, gerai dan medan selera seliaan mereka sehingga hujung tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, langkah itu merupakan usaha proaktif kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dan membantu komuniti penjaja serta peniaga kecil yang berdepan peningkatan kos operasi ketika ini.

“Langkah strategik ini bertujuan meringankan beban kos operasi ditanggung penjaja dan peniaga kecil tempatan, sekali gus memangkin pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, inisiatif itu juga mampu membantu memastikan kesinambungan operasi perniagaan, mengekalkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan daya tahan ekonomi komuniti setempat.

“Dengan memberikan pengurangan sewa ini, kita bukan saja membantu kelangsungan hidup peniaga kecil, malah turut membantu memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan untuk pengguna.”

Jelasnya, cadangan dikemukakan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk PBT membantu peniaga yang menyewa premis di bawah seliaan mereka melalui insentif adalah wajar sebagai langkah segera membantu rakyat.

Nga berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan semua PBT di seluruh negara bagi meneliti kaedah pelaksanaan bersesuaian mengikut kemampuan kewangan dan keperluan setempat demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan ekosistem ekonomi bandar terus diperkukuhkan.

“Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Kita mahu memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negara dan terus menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negara.”

Katanya, inisiatif pengurangan sewa akan melengkapkan pelbagai usaha berterusan membantu rakyat dan komuniti peniaga kecil, termasuk pelaksanaan program bantuan keusahawanan, penyediaan kemudahan perniagaan lebih kondusif, penaiktarafan medan selera dan pasar awam serta pelaksanaan inisiatif seperti MyKiosk.

Selasa lalu, MTEN menggesa PBT dan kerajaan negeri di seluruh negara mengurangkan kadar sewa premis di bawah seliaan mereka berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, berkata langkah itu penting bagi membolehkan peniaga kecil, pengusaha pasar malam dan usahawan mikro bertahan susulan peningkatan kos operasi yang kini secara purata mencecah 7% hingga 58% daripada keseluruhan kos perniagaan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.