
Ketua Pemuda Noor Azleen Ambros mengulas dakwaan Nga bahawa keputusan kerajaan Johor mewujudkan Adun lantikan bertentangan dengan Perlembagaan, tidak mencerminkan budaya politik matang dan demokratik kerana menggunakan kaedah ‘pintu belakang’.
Media melaporkan PH akan mengadakan kempen mengutip tandatangan rakyat johor bagi membantah perkara tersebut.
Azleen menyorot perhatian kepada Fadzly Ramly (Amanah) dan Rizal Jamin (PKR) yang dilantik ke DUN Pahang dan Grace Lee (PKR) ke DUN Sabah.
“Kenyataan beliau dilihat tidak konsisten dan bersifat selektif, seolah-olah mengguna pakai standard berbeza mengikut negeri dan keadaan politik semasa,” katanya di Facebook.
“Apa yang dibantah di Johor, hakikatnya turut wujud di negeri lain yang turut melibatkan wakil PH. Namun perkara ini tidak disentuh secara adil dan menyeluruh.”
Walaupun dibantah PH, DUN Johor pada Khamis meluluskan rang undang-undang yang membolehkan pelantikan lima Adun, sekali gus meningkatkan jumlah wakil rakyat di negeri itu kepada 61 orang.
Nga mendakwa pindaan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan yang mengatakan wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat, dan tak boleh dilantik.
Pemuda Umno Johor bagaimanapun mencabar Nga supaya bersikap konsisten dan berprinsip, dengan memastikan Adun PH yang dilantik di Pahang dan Sabah meletak jawatan, “sekiranya benar beliau menolak konsep yang sama di Johor.”
“Jika prinsip yang dilaungkan benar-benar berasaskan keadilan dan ketelusan, maka ia tidak boleh berubah mengikut negeri atau kepentingan politik semasa,” katanya.