Tuan Ibrahim akui cadangan damai ‘pendapat peribadi’

Tuan Ibrahim akui cadangan damai ‘pendapat peribadi’

Beliau turut bersetuju dengan Hadi yang gesaan itu supaya menghentikan serangan terhadap PAS.

Tuan-Ibrahim_hadi-awang_600_2
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui seruannya supaya parti pembangkang berhenti menyerang satu sama lain hanyala pendapat peribadi beliau.

Tuan Ibrahim turut bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang berkata cadangan damai itu ialah supaya pembangjang berhenti menyerang PAS.

“(Pendapat saya) tidak bercanggah dengan prinsip dan konsep serta dasar parti kerana Tok Guru sebut mereka (pembangkang) selalu serang PAS, ia perlu dihentikan,” katanya semalam dipetik Malaysiakini.

PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan, gabungan antara PKR, DAP dan Amanah yang menggantikan Pakatan Rakyat selepas terkubur pada Jun tahun lalu.

Pada 13 Julai, Tuan Ibrahim menyeru parti pembangkang berdamai dan menumpukan kepada usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat ramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini,” katanya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata cadangan itu akan dibincangkan PAS Pusat.

Jumaat lepas, Hadi berkata gesaan Tuan Ibrahim itu dibuat bagi menghentikan serangan terhadap PAS.

“Desakan itu (bermaksud) jangan serang PAS lah. Kita tak pernah tembak orang, orang tembak kita. PAS ada serang siapa? Orang lain (yang serang). Gencatan senjata (perlu) sama-sama,” kata Hadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.