Nombor plat palsu ‘IJAN’, ibu tunggal ditahan

Nombor plat palsu ‘IJAN’, ibu tunggal ditahan

Tertuduh, Aslizan, seorang perunding, didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu "IJAN" di Jalan Imbi di sini.

black-mini
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal tiga anak didenda RM5,500 atau satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada keretanya.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Aslizan Zabidin, 43, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kenderaannya iaitu Mini Cooper berwarna hitam.

Aslizan, seorang perunding, didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu “IJAN” di Jalan Imbi di sini pada 11 pagi, 26 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal tetapi tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah supaya dikenakan denda minimum dengan alasan dia seorang ibu tunggal dengan tiga anak.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis dalam Ops Rondaan Cegah Kemalangan telah menahan sebuah kereta jenis Mini Cooper berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

Selepas semakan dibuat melalui sistem MCOPS, PDRM mendapati nombor pendaftaran itu tiada dalam sistem JPJ.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.