Miti perjelas isu BYD, syarat kilang pemasangan kenderaan elektrik

Miti perjelas isu BYD, syarat kilang pemasangan kenderaan elektrik

Kementerian itu berkata beberapa dakwaan tersebar tidak tepat, sambil menegaskan dasar EV terpakai sama rata bagi membina ekosistem automotif bernilai tinggi.

Menteri Miti Johari Ghani berkata BYD memperoleh lesen pembuatan sementara pada September 2025 bagi kilang pemasangan itu berasaskan pengeluaran berorientasikan eksport. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) tampil menjelaskan isu kemungkinan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD menilai semula rancangan menubuhkan kilang pemasangan tempatan CKD di Tanjung Malim, Perak.

Menterinya, Johari Ghani, berkata terdapat beberapa dakwaan yang tersebar dalam talian berhubung syarat lesen pembuatan BYD, sekali gus menimbulkan kekeliruan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata BYD memperoleh lesen pembuatan sementara pada September 2025 untuk loji pemasangan itu berasaskan pengeluaran berorientasikan eksport.

Katanya, syarat tersebut dirangka bagi memastikan keselarasan dengan Dasar Automotif Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, menggalakkan aktiviti bernilai tinggi serta mengelakkan gangguan pasaran.

“Syarat ini bukan khusus kepada BYD, sebaliknya mencerminkan pendekatan konsisten yang dikenakan ke atas semua pelaburan automotif baharu di Malaysia bermula September 2025, kecuali yang menggunakan kemudahan pemasangan tempatan sedia ada,” katanya.

Johari berkata antara syarat tambahan lesen pembuatan BYD ialah jumlah jualan domestik sebanyak 10,000 unit atau 20% daripada kapasiti pengeluaran loji, dengan harga minimum atas jalan RM100,000.

Beliau berkata dakwaan bahawa hanya 20% kereta BYD yang dipasang tempatan boleh dijual di sini dan perlu berharga melebihi RM200,000 adalah tidak tepat.

“Ia bukan sekatan, sebaliknya rangka kerja pengeluaran yang dipersetujui bersama,” katanya.

“Semua syarat yang dikenakan adalah tidak diskriminasi dan terpakai sama rata kepada semua projek pemasangan automotif berskala besar tanpa mengira jenama dan negara asal.

“Ia bertujuan memastikan kapasiti pemasangan tempatan bergerak ke arah segmen pasaran bernilai tinggi yang mampan serta mengelakkan gangguan terhadap ekosistem vendor sedia ada. BYD tidak dipilih secara khusus, syarat yang sama terpakai kepada mana-mana kemasukan baharu CKD.”

Harga minimum EV import dikaji semula

Johari berkata dasar permit diluluskan (AP) francais semasa menetapkan bahawa kenderaan import CBU mesti dijual pada harga minimum atas jalan RM250,000.

Namun, katanya Putrajaya menurunkan harga minimum itu kepada RM100,000 dari 2022 hingga 31 Dis 2025 bagi menggalakkan penggunaan EV, sambil memberi ruang kepada pengeluar tempatan membangunkan keupayaan dan rantaian bekalan EV mereka sendiri.

“Pembuatan dan pemasangan tempatan, bukan import CBU berterusan, adalah strategi jangka panjang kerajaan untuk menjadikan EV lebih mudah diakses dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, Miti kini sedang mengkaji dasar harga minimum itu bagi memperkukuh lagi aktiviti pemasangan tempatan sambil memastikan harga kenderaan CBU ditentukan oleh kuasa pasaran.”

Dakwaan tidak tepat

Johari menafikan dakwaan bahawa Miti melarang import model trak pikap baharu atau jenama seperti BYD Shark atau GWM Cannon.

Katanya, semua kenderaan komersial termasuk trak pikap tertakluk kepada keperluan penggunaan sumber tempatan CKD.

“Import CBU dibenarkan dengan kuota terhad di bawah kuota AP pra-pemasangan untuk tujuan kajian pasaran.

“Tiada sebarang pengumuman daripada Miti yang melarang import jenama trak pikap baharu ke Malaysia.”

Johari turut menegaskan pendekatan Miti bukan bersifat perlindungan, sebaliknya berorientasikan pembangunan, dengan menyatakan pelaburan tanpa komitmen eksport atau pelan penyesuaian tempatan yang jelas hanya memberi manfaat terhad kepada ekosistem automotif tempatan.

“Rangka kerja kita diwujudkan untuk menggalakkan komitmen jangka panjang bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada pelabur dan Malaysia.”

Malaysia kekal terbuka

Johari menegaskan kerajaan kekal ‘benar-benar terbuka’ terhadap pelaburan automotif dari China, sambil menyatakan 14 daripada 34 pengeluar kereta asing di pasaran Malaysia adalah dari China.

Beliau menambah Chery Automobile Co Ltd turut diberikan lesen pembuatan pada Jun 2025, membuktikan rangka dasar Miti bukan penghalang kemasukan.

“Malaysia bersedia bekerjasama dengan pengeluar yang datang bukan sahaja untuk memenuhi pasaran domestik, tetapi juga membina untuk pasaran global, dan rangka dasar kita direka khusus untuk membolehkan serta mempercepatkan aspirasi itu.

“Tenaga kerja kami berkemahiran teknikal, fasih berbahasa Inggeris, dan berpengalaman dalam pembuatan berketepatan tinggi. Persekitaran kawal selia kami, walaupun menuntut standard tinggi, adalah stabil, telus dan dilaksanakan secara konsisten.

“Bagi pengeluar yang serius untuk kehadiran jangka panjang berorientasikan eksport di Asia Tenggara, Malaysia kekal antara destinasi paling menarik di rantau ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.