PETALING JAYA : Tiga kakitangan bawahan Bank Muamalat dari tiga cawangan berbeza di Semenanjung Malaysia mendakwa mereka rasa tertindas selepas diarahkan berpindah tugas ke ibu pejabat di Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berkata tiga pembantu pejabat itu menerima surat arahan berpindah ke Kuala Lumpur dari cawangan masing-masing iaitu di Kulim, Kota Bharu dan Ipoh, pada Mei menerusi surat.
Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata pihaknya dimaklumkan ketiga-tiga kakitangan itu tidak diberikan sebarang tugas apabila melaporkan diri di Kuala Lumpur.
“Sekarang, kerja pembantu pejabat pun diambil alih oleh kakitangan atasan, dan keadaan itu berlaku di semua cawangan.
“Kenapa mereka rompak kerja golongan berpendapatan bawah dan menyusahkan mereka. Mereka diarahkan ke Kuala Lumpur tetapi selepas berhari-hari di sini, mereka tidak diberikan tugas,” katanya ketika dihubungi FMT.
Solomon berkata arahan bertukar cawangan dari negeri ke Kuala Lumpur memberi tekanan kepada kakitangan terbabit, terutama yang sudah berkeluarga.
Katanya, mereka hanya diberikan elaun perjalanan ketika tiba di Kuala Lumpur dan sehingga kini persatuan yang menanggung kos tempat tinggal dan makan minum mereka.
Solomon berkata pihaknya difahamkan jawatan Bank Muamalat bercadang untuk memansuhkan jawatan pembantu pejabat di semua cawangannya.
Salah seorang kakitangan terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata beliau diarah melaporkan diri pada 18 Julai lalu di Ibu Pejabat Bank Muamalat Kuala Lumpur.
Katanya, sejak melaporkan diri hingga sekarang beliau tidak diberikan sebarang kerja.
Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia Bank Muamalat Sharifah Nor Zahidah berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang komen berkenaan isu itu.
“Ia masih lagi dalam perbincangan. Dalam situasi ini, kita tak boleh nak buat komen apa-apa sebab belum ada apa-apa keputusan,” katanya.