Muslim Indonesia paling benci komuniti LGBT, kata kajian

Muslim Indonesia paling benci komuniti LGBT, kata kajian

Muslim di Indonesia cenderung menjadi lebih tidak bertoleransi terhadap kumpulan yang dibenci sehingga tidak mahu berjiran atau mengajar anak mereka.

indonesia-lgbt
JAKARTA:
Komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ialah kumpulan minoriti yang paling tidak disukai Muslim di Indonesia, menurut satu kajian dijalankan Institut Kaji Selidik Indonesia dan Yayasan Wahid.

Jakarta Post melaporkan kajian itu mendapati hanya 38.7% responden tidak menunjukkan perasaan tidak suka terhadap kumpulan lain. Sementara responden lain mengakui tidak suka beberapa kumpulan, termasuk 26.1% yang berkata tidak suka LGBT.

Kumpulan lain yang tidak disukai ialah komunis (16.7%) dan Yahudi (10.6%).

Kaji selidik itu membabitkan 1,520 responden di seluruh 34 wilayah di negara itu dengan semua responden ialah Muslim, yang membentuk hampir 90% populasi republik itu, dan berumur 17 tahun ke atas, sama ada bujang dan berkahwin.

Kaji selidik itu dijalankan menggunakan kaedah pensampelan rawak dengan margin 2.6% kesilapan.

“Ketika bertembung dengan kumpulan orang yang mereka tidak suka, Muslim di Indonesia cenderung menjadi lebih tidak bertoleransi sehingga ke tahap tidak mahu mereka menjadi jiran atau mengajar anak mereka,” kata penyelidik Yayasan Wahid Aryo Ardi Nugroho kepada Jakarta Post.

Responden juga dipetik tidak suka kepada Kristian sebanyak (2.2%), Syiah (1.3%), Wahabi (0.5%), Buddha (0.4%) dan China-Indonesia (0.4%).

Wahabi ialah kumpulan yang mematuhi ortodoks ketat Sunni Islam, yang mendesak kepada kembalinya pada tradisi zaman awal Islam dan kebanyakannya berpangkalan di Arab Saudi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.