KUALA LUMPUR: Sebuah rancangan televisyen Malaysia memohon maaf susulan bantahan di media sosial berhubung sketsa komedi memaparkan seorang pelakon disolek dengan “muka hitam” berlagak sebagai bintang R&B Amerika Syarikat (AS) Usher.
Sketsa itu ialah parodi menunjukkan persembahan penyanyi popular Malaysia, Yuna dan Usher di AS pada Jun, di mana mereka berpeluk, mencetuskan kritikan dalam kalangan rakyat yang majoriti beragama Islam di Malaysia.
Malaysia melarang berpeluk, bercium dan bahasa kasar dilakukan penghibur di atas pentas. Ia juga melarang wanita berpakaian mendedahkan baju dan lutut.
Dalam parodi itu, seorang wanita berlakon sebagai Yuna menunduk hormat di depan seorang pelawak yang disolek “muka hitam” berperanan sebagai Usher, bukannya memeluk lelaki itu.
Video itu, yang dikongsi secara meluas di media sosial, disiarkan dalam program hiburan tempatan Melayu “MeleTop” pada Selasa.
Program itu pada Rabu tweet:”Kami dengan ikhlas meminta maaf kepada Yuna & Usher atas video parodi kami baru-baru ini, mengenai klip video itu.”
“Kami sudah menarik balik video itu dan minta semua orang tidak mengongsinya.”
Ramai di media sosial mengutuk rasisme dalam parodi itu.
“Yuna membanggakan Malaysia di seluruh dunia dan inikah cara anda tunjukkan penghargaan kepadanya,” tulis seorang penulis Twitter.
Yuna ialah seorang Melayu beragama Islam yang berjaya melebarkan kerjaya nyanyiannya ke AS.
Dia baru-baru ini melancarkan single terbaru menampilkan Usher bertajuk “Crush”. Bintang R&B itu juga tampil dalam satu video muzik untuk lagu itu.
Yuna – yang menutup rambutnya dengan fesyen hijab moden – semakin berjaya sejak kali pertama memuat naik lagunya di Myspace pada 2006.