
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya berharap mekanisme baharu dapat diadakan sebagai jalan penyelesaian supaya semua pihak iaitu peniaga dan pengguna berasa selesa.
“Jika bercakap soal kepenggunaan sudah tentu ada peniaga dan pembeli. Jika peniaga berhemah, sudah tentu pengguna akan membeli barangan secara selesa tanpa ada rasa syak wasangka.
“Hari ini apa yang membuatkan kita selesa adalah akta itu sendiri di mana ianya dapat membuktikan banyak barangan dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pengkalan Chepa malam tadi.
Beliau berkata kajian berkenaan dilakukan agar peniaga dapat merasakan terdapat keuntungan dan pengguna pula merasa harga berpatutan.
“Dalam isu ini, kita kena ada perjumpaan dengan semua pihak iaitu peniaga dan orang ramai supaya dapat mencari mekanisme baharu serta seterusnya memberikan keselesaan kepada semua pihak,” kata Hamzah.
Beliau berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan bukannya untuk memberi ketidakselesaan kepada peniaga dan tidak timbul soal untuk menyekat peniaga daripada mencari keuntungan.
“Kita akan mencari mekanisme baharu bagi mengatasi apa sahaja masalah yang timbul termasuklah membawanya ke jemaah menteri,” katanya.
Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dikuatkuasakan pada 1 April 2011 merupakan akta amat penting bagi pengguna kerana ia dapat melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan.