Boleh bekerja bersama jika Chow dilantik KM, kata Rashid

hasnon-chow

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Rashid Hasnon berkata beliau boleh bekerja bersama Chow Kon Yeow jika pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri itu dilantik sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Rashid, yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri berkata beliau mengenali Chow sejak 1998, semasa kedua-dua mereka memulakan kerjaya dalam politik.

Baru-baru ini Chow dinamakan sebagai “pilihan sesuai” untuk menggantikan Lim Guan Eng sebagai ketua menteri sekiranya berlaku apa-apa ke atas Lim.

“Kami telah melalui banyak perkara bersama-sama, dan jika beliau dipilih sebagai ketua menteri, saya tiada masalah untuk bekerja dengannya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada persidangan Maqasid Syariah di sini hari ini.

Rashid berkata walaupun pilihan raya negeri tidak jadi diadakan, hubungan antara PKR dan DAP di negeri ini masih baik dan keputusan PKR untuk menolak cadangan DAP bagi diadakan pilihan raya negeri dibuat selepas beberapa mesyuarat oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti.

Mengadakan pilihan raya negeri merupakan antara dua pilihan yang dicadangkan, dengan satu lagi adalah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang mesti diadakan sebelum Ogos 2018, sebagai respons terhadap dua pertuduhan rasuah dihadapi Lim.