Nurul Izzah kena jadi exco dulu, kata Raja Nong Chik

raja nong

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar disaran menjadi wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu supaya dapat menimba pengalaman, kata calon Barisan Nasional (BN) yang pernah ditewaskannya.

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ia penting supaya anak bekas ketua pembangkang itu boleh mendapatkan pengalaman sebelum bercita-cita menjadi perdana menteri.

“Jika hendak menjadi perdana menteri, tetapi (Nurul Izzah) sekadar menjadi ahli Parlimen pembangkang dan tidak berbuat apa-apa, lebih baik beliau bertanding kerusi DUN di Selangor atau Pulau Pinang dan jadi exco.

“Ini cara kita menimba pengalaman dalam politik,” katanya dalam temubual khas dengan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily hari ini.

Nurul Izzah, anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi ahli Parlimen selepas menewaskan penyandang kerusi itu selama tiga penggal, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dengan majoriti 2,895 undi, pada 2008.

Beliau mempertahankan kerusi itu selepas menundukkan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi pada 2013.

Raja Nong Chik, yang juga timbalan pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, mendakwa Nurul Izzah tidak berkhidmat di kawasannya, sebaliknya menyerahkan masalah kepada BN serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Beliau fokus kepada politik, membangkitkan isu nasional dan berkaitan perdana menteri. Selain itu, beliau kadangkala muncul di laman media sosial seperti Twitter dan Facebook.

“Jadi, orang ingat beliau ada berkhidmat (untuk rakyat), tetapi hakikatnya kita tahu beliau tidak berbuat demikian,” katanya.

Raja Nong Chik tidak menolak kemungkinan akan bertanding lagi di Lembah Pantai jika Umno mencalonkannya.

“BN mempunyai peluang kerana Nurul tidak berbuat apa-apa, ditambah perubahan situasi politik dan pembubaran Pakatan Rakyat, rakyat nampak kesannya berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” katanya.