
Exco Pemuda PKR Jalex Lee berkata langkah seperti bekerja dari rumah diperkenalkan kerana banyak negara ketika ini berusaha mengurangkan penggunaan minyak bagi melindungi rizab masing-masing.
Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bekalan petroleum domestik hanya mencukupi sehingga sekitar Mei, sekali gus menunjukkan situasi semasa memerlukan disiplin penggunaan yang lebih ketat.
“Justeru, dakwaan bahawa konvoi ini tidak melibatkan dana kerajaan adalah tidak tepat. Ia tetap menggunakan sumber awam dan kerajaan, dan merupakan pembaziran untuk tujuan politik semata-mata yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Jalex berkata demikian mengulas kenyataan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor yang mempertahankan penganjuran konvoi motosikal ganungan itu Sabtu lalu dengan menegaskan ribuan peserta hadir atas kesedaran sendiri walaupun dunia berdepan krisis tenaga global.
Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata peserta himpunan itu sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk mengisi minyak motosikal kerana merasakan terdapat isu lebih besar yang sedang membebankan negara ketika ini.
Konvoi itu juga dikritik, Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang menyifatkannya sebagai pembaziran besar-besaran ketika dunia berdepan krisis tenaga global.
Nurul Izzah berkata kerajaan di seluruh dunia ketika ini sedang bertindak segera menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan.
Jalex juga membidas kenyataan Sanusi dengan berkata penggunaan RON95 hampir pasti melibatkan subsidi di bawah program BUDI95 dan ia bukan datang dari sumber ‘misteri’ sebaliknya melalui kutipan cukai dan hasil negara.
“Hari ini, rakyat menikmati harga RON95 sekitar RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran sebenar kira-kira RM3.87 seliter. Ini bermakna hampir 50% daripada kos bahan api tersebut ditanggung oleh kerajaan.
“Maka apabila konvoi berskala besar dianjurkan, sebahagian besar bahan api yang digunakan sebenarnya adalah bersubsidi dan dibiayai oleh rakyat sendiri,” katanya.
Jalex turut merujuk kepada kenyataan Nurul Izzah bahawa dunia kini berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan tenaga susulan konflik di Asia Barat.
“(Ini) soal keperluan mendesak untuk berjimat dan mengurus penggunaan bahan api secara berhemah. Bekalan bukan tidak terbatas, malah dalam keadaan tertentu, kita berdepan risiko kekangan jika disiplin penggunaan tidak dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata langkah seperti bekerja dari rumah bukan sekadar untuk menjimatkan kos rakyat, tetapi juga sebahagian daripada usaha mengurangkan tekanan terhadap penggunaan bahan api negara.
“Rakyat tidak memerlukan konvoi politik. Rakyat memerlukan penyelesaian.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan krisis tenaga global yang semakin menekan, keutamaan seharusnya adalah mencari jalan membantu rakyat dan bukan menganjurkan program yang akhirnya membebankan kewangan negara dan menghabiskan sumber yang semakin terhad,” katanya.