Parodi Yuna-Usher serlahkan kejahilan terhadap sensitiviti asing

parodi-yuna-usher

PETALING JAYA: Kontroversi yang ditimbulkan rancangan sketsa “MeleTop” terbitan Astro baru-baru ini menunjukkan perbezaan takrifan perkauman, di samping kejahilan sesetengah pihak terhadap budaya dan sensitiviti negara lain, kata sejarawan terkenal Tan Sri Prof Khoo Kay Kim.

“Secara keseluruhannya, masyarakat terutama belia Malaysia perlu didikan jelas mengenai budaya dan cara penerimaan masyarakat barat, terutama di Amerika Syarikat… tidak sama dengan kita,” kata Khoo kepada FMT.

Rancangan itu memuatkan parodi melakonkan semula watak penyanyi popular Malaysia, Yunalis Zarai atau Yuna, yang berduet dengan artis Amerika Syarikat Usher dalam muzik video “Crush”.

Seorang wanita berpakaian ala-Yuna menunduk hormat di depan seorang pelawak yang mukanya dicat hitam, berperanan sebagai Usher.

Video sketsa yang dikongsi secara meluas di media sosial itu mengundang tuduhan perkauman kerana penonjolan penduduk kulit hitam sebegitu merupakan sesuatu yang sensitif di Amerika Syarikat.

Selepas Yuna membidas sketsa itu kerana boleh menghancurkan kariernya sebagai penyanyi di Amerika Syarikat, penerbit rancangan meminta maaf dan menarik balik klip tersebut.

Khoo berkata di Malaysia, paparan lelaki yang dihitamkan wajahnya mungkin dianggap hiburan semata-mata, namun tidak bagi masyarakat barat.

Katanya ia menyerlahkan betapa belia Malaysia gagal memahami perihal ikatan antara kaum lain sekaligus menyukarkan proses perpaduan.

“Anak muda masa kini kurang didikan dalam perihal menyelami budaya kaum lain, jadi usah terlalu berharap masyarakat kita boleh faham budaya luar,” kata beliau.

Sementara itu, seorang lagi tokoh sejarah Datuk Profesor Ramlah Adam berpendapat parodi Yuna itu menjadi kontroversi kerana ada pihak tidak memahami apa yang cuba disampaikan.

“Kita tidak boleh halang kreativiti seseorang. Dalam isu ini, Yuna tidak perlu melatah dan isu seperti ini tidak perlu diperbesarkan,” katanya, mengakui beliau sendiri belum menonton video itu.

“Namun saya difahamkan video tersebut memberi gambaran seolah menghina berkulit hitam. Ia sekadar persembahan dan saya tidak lihat ia seperti menghina orang berkulit hitam.”

Pautan: 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/05/penerbit-meletop-mohon-maaf-parodi-usher-muka-hitam/