Kasi pedofil secara kimia, cadang ahli Parlimen Belia

chemical-cast-1

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen Belia mencadangkan hukuman kastrasi kimia (pengembirian kimia) dikenakan ke atas pesalah pedofilia di negara ini.

Wakil Kedah, Mohd Firdaus Ahmad mengemukakan cadangan itu pada persidangan Parlimen Belia hari ini ketika membahaskan usul kerajaan menambah baik undang-undang sedia ada dan mengambil langkah drastik mengekang jenayah pedofilia.

Mohd Firdaus berkata, hukuman melalui perubatan itu boleh memberi impak emosi kepada individu lain dan mencegah pedofil lain melakukan jenayah terkutuk itu.

“Pada Mei lalu media melaporkan Presiden Indonesia berkenan meluluskan hukuman kastrasi kimia terhadap pesalah kanak-kanak. Begitu juga di beberapa negara lain seperti Korea Selatan, Poland, Rusia dan beberapa negeri di Amerika Syarikat yang melaksanakan hukuman ini.

“Hukuman ini merupakan satu cara pemandulan dan boleh menimbulkan rasa takut kepada pesalah lain,” katanya.

Terdahulu, ketika membawa usul itu, wakil Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli mencadangkan satu pangkalan data khas bagi pesalah pedofilia diwujudkan sebagai rujukan awam.

Katanya, pangkalan data itu yang perlu disediakan secara dalam talian boleh menjadi satu sistem untuk mengesan atau mengetahui latar belakang seseorang pesalah, terutama apabila mereka memohon pekerjaan di pusat asuhan kanak-kanak atau sekolah.

“Langkah ini dilaksanakan di banyak negara yang juga boleh menjadi rujukan kepada ibu bapa bagi mengawal pergaulan anak-anak mereka dengan individu yang dicurigai,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga perlu menambah baik akta dan undang-undang sedia ada agar hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada pesalah pedofilia.

Usul itu kemudiannya diluluskan sebulat suara Parlimen Belia.

Semalam, Parlimen Belia meluluskan dua usul, iaitu memohon kerajaan meminda semula Akta Seksyen 233 (Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) dan membuat ketetapan serius terhadap usaha mempertahankan kedaulatan negara di Laut China Selatan.