Basmi perosak industri teksi sebelum halalkan Uber, Grab

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu memperbaiki mekanisme penguatkuasaan dan membersihkan kegiatan haram dalam industri teksi, sebelum menghalalkan Uber serta Grab.

Pengasas syarikat Teksi Premium Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pemandu teksi tidak menentang usaha menghalalkan perkhidmatan Uber dan Grab, tetapi mereka mahu ia dilakukan selepas SPAD membersihkan industri teksi.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi industri itu, termasuk kekurangan keyakinan orang ramai terhadap mereka berpunca daripada kegiatan teksi haram dan pemandu gagal mematuhi undang-undang.

Jadi, katanya, daripada mengambil langkah merugikan negara atau mengurangkan pendapatan pemandu teksi yang patuhi peraturan, SPAD sepatutnya membasmikan perosak industri teksi.

“Saya jangkakan apabila SPAD membentangkan cadangannya kepada kabinet, ia akan meminta lebih banyak peruntukan untuk memperbaiki dan meningkatkan mekanisme penguatkuasaannya, bukannya meminta lebih banyak duit untuk beli teksi baru.

“Masalah terletak pada aktiviti haram yang dijalankan sesetengah pemandu teksi. Jadi, SPAD perlu membersihkan dan memperkemaskan penguatkuasaannya terlebih dahulu,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Menurut laporan media, kabinet semalam membenarkan SPAD mengawal konsep e-teksi menjelang akhir tahun ini yang dilihat akan menjadikan Uber dan Grab sah di sisi undang-undang.

Shamsubahrin mendakwa terdapat 18,000 pemandu teksi “tidak patuhi undang-undang” yang beroperasi di seluruh negara.

Kenyataannya susulan keputusan kabinet menghalalkan Uber dan Grab menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pemandu teksi Malaysia berang bukannya kerana mereka menentang usaha menghalalkan kedua-dua perkhidmatan perkongsian perjalanan itu, sebaliknya disebabkan masanya.

Katanya, jika ia dilaksanakan sebelum industri teksi “dibersihkan”, maka akan wujud ketidakadilan buat pemandu teksi.

“Kami tidak pernah kata Uber tidak boleh datang sini. Malah, kami mengalu-alukannya. Saya hanya minta ia ditangguhkan supaya industri teksi dibersihkan terlebih dahulu. Hakikatnya, SPAD gagal mentransformasikan industri teksi.

“Jika mereka bijak, mereka akan peruntukkan lebih banyak wang untuk penguatkuasaan seperti JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), lebih fokus untuk tangkap pesalah (yang merosakkan imej industri teksi),” katanya.

Shamsubahrin berkata, pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan menghalalkan Uber dan Grab akan menyokong parti baharu, Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kami akan berjuang habis-habisan jika Uber dan Grab diluluskan menjelang akhir tahun ini. Kami akan 100% menyokong parti baharu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan harapan mereka boleh sokong dan mentransformasikan industri ini.

“Kami tidak boleh mengharapkan kabinet dan Barisan Nasional lagi kerana mereka tidak ikhlas,” katanya yang turut mendakwa Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengkhianati mereka kerana gagal menunaikan janji untuk membantu industri teksi.

Menurut SPAD, terdapat kira-kira 77,000 pemandu teksi berdaftar di seluruh negara dan jumlah itu dianggarkan akan bertambah kepada 150,000 orang, termasuk pemandu Uber serta Grab dalam tempoh tiga tahun akan datang, jika cadangan menghalalkan kedua-dua perkhidmatan perkongsian itu diluluskan Parlimen pada November ini.

Sementara itu, seorang daripada pengasas Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman mengalu-alukan sokongan pemandu teksi dan berikrar akan menunaikan janji mereka kepada industri itu.

“Kami sudah mengenal pasti masalah yang berbangkit di bawah pentadbiran sekarang. Kami (Bersatu) datang daripada pelbagai latar belakang dan kami akan kaji masalah mereka,” katanya kepada FMT.

Ideas: Uber baik untuk pengguna dan pemandu teksi