Tinjauan pendapat Unicef: Naikkan had umur berkahwin kepada 21 tahun

Marianne_profile

PETALING JAYA: Satu tinjauan pendapat dalam talian yang dijalankan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) menunjukkan 86% responden bersetuju hanya remaja berumur 18 tahun dan ke atas boleh dibenarkan berkahwin.

Bagaimanapun, hampir 50% responden wanita berpendapat had itu perlu dinaikkan kepada 21 tahun.

Tinjauan pendapat yang disertai 771 orang itu bertujuan mengetahui pandangan orang ramai mengenai perkahwinan kanak-kanak, susulan satu kes di Sarawak baru-baru ini di mana seorang suspek kes rogol berkahwin dengan gadis berusia 15 tahun yang dirogolnya tahun lalu.

Hampir 95% responden dalam tinjauan pendapat itu bersetuju perkahwinan terbabit tidak patut berlaku.

“Secara ringkasnya, perkahwinan kanak-kanak merampas zaman kanak-kanak itu dan melanggar hak mereka.

“Ia sesuatu yang menggembirakan untuk melihat hasil tinjauan pendapat tidak rasmi ini, di mana rakyat Malaysia secara amnya, terutama golongan muda dan wanita, tidak menyokong perkahwinan kanak-kanak,” kata Marianne Clark-Hattingh, wakil Unicef Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat, perkahwinan sebelum seseorang itu membesar dari segi fizikal dan matang mengundang risiko fizikal serta emosi.

Menurut kenyataan itu, perkahwinan kanak-kanak yang biasanya menyekat hak asasi kanak-kanak terhadap kesihatan, pendidikan dan perlindungan daripada bahaya, dikecam konvensyen antarabangsa.

Ia termasuk Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) dan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw), yang turut dipersetujui Malaysia.

Katanya, Unicef kekal komited untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia sebagai satu daripada keutamaannya di negara ini.

Pada 25 Julai lalu, Hakim Afidah Abdul Rahman memutuskan untuk melepas tanpa membebas kan Ahmad Syukri Yusuf, 22, daripada pertuduhan merogol gadis bawah umur, selepas tertuduh mengahwini mangsanya yang hanya berusia 14 tahun ketika jenayah itu berlaku.

Bagaimanapun, Borneo Post melaporkan Mahkamah Tinggi menetapkan 26 dan 27 September ini untuk sebutan semula kes itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Hafiz Abdul Hamid mengemukakan rayuan untuk meminda keputusan pada Julai lalu.