Malawi isytihar wabak polio

Malawi isytihar wabak polio

Virus dikenal pasti melalui pengawasan rutin air sisa kumbahan di bandar komersial Blantyre.

Kerajaan Malawi sedang rangka pelan jalan kempen imunisasi tambahan untuk lindungi kanak-kanak dan cegah jangkitan lanjut virus polio. (Gambar EPA Images)
LILONGWE:
Malawi mengisytiharkan wabak virus polio jenis 2 (cVDPV2) di negara itu susulan pengesanannya dalam sampel persekitaran, lapor Anadolu Ajansi memetik pegawai Kementerian Kesihatan Malawi pada Sabtu.

Setiausaha Kesihatan dan Sanitasi Dan Namarika berkata, virus itu dikenal pasti melalui pengawasan rutin air sisa kumbahan di dua tapak di bandar komersial Blantyre.

Kementerian memberi amaran, virus itu mendatangkan risiko kesihatan yang serius dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, serupa dengan virus polio liar.

“Susulan nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian sedang bekerja sepanjang masa untuk mempergiat langkah membendung wabak ini, sepertimana yang kami lakukan pada 2022.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya mengekalkan langkah kebersihan makanan bagi mencegah penularan virus dan memastikan kanak-kanak mendapat vaksinasi lengkap,” kata Namarika.

Beliau berkata, pihaknya sedang merangka pelan untuk menjalankan kempen imunisasi tambahan bagi melindungi kanak-kanak dan mencegah jangkitan lanjut.

Kali terakhir Malawi melancarkan tindak balas polio adalah pada 2022 selepas penularan virus polio liar jenis 1.

Pada Februari 2022, selepas 30 tahun tanpa sebarang kes, Malawi mengisytiharkan wabak polio selepas satu kes virus polio liar dikesan pada seorang kanak-kanak berusia 14 tahun. Sejak itu, tiada kes polio dilaporkan sehingga kini.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) telah bekerjasama dengan kerajaan Malawi dalam usaha menamatkan polio. Selain memperoleh 6.8 juta dos vaksin, Unicef turut menyokong pengukuhan rantaian bekalan imunisasi secara keseluruhan.

Polio menyerang sistem saraf dan jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kecacatan fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.