Malaysia cukup sedia hadapi kebimbangan virus Nipah

Malaysia cukup sedia hadapi kebimbangan virus Nipah

Menteri kesihatan berkata, KKM sedang pantau secara proaktif laporan jangkitan virus di India.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan barisan hadapan di semua pintu masuk negara termasuk lapangan terbang dan pelabuhan, kini berada dalam keadaan siap siaga tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa sistem keselamatan kesihatan Malaysia sudah bersedia sepenuhnya, berikutan laporan kes positif virus Nipah di India yang mencetuskan kawalan lebih ketat di lapangan terbang antarabangsa utama.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sedang giat memantau laporan mengenai jangkitan virus itu di India.

“Sistem keselamatan kesihatan kita kukuh, teruji dan bersedia. (KKM) sedang meningkatkan tindak balas secara bersesuaian demi memastikan keselamatan (orang ramai) terjamin,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.

Dzulkefly berkata demikian sebagai respon terhadap laporan bahawa Thailand mula mengetatkan saringan kesihatan di lapangan terbang utamanya selepas India mengesahkan lima kes virus Nipah, penyakit yang mempunyai kadar kematian sehingga 75%.

Beliau berkata, pasukan barisan hadapan di semua pintu masuk negara termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat kini berada dalam keadaan siap siaga tinggi.

Katanya, kementeriannya kini dalam keadaan bersedia sepenuhnya, lengkap dengan pengawasan kesihatan dan saringan pelancong yang ketat, prosedur tindakan pantas untuk mereka yang bergejala, serta pasukan perubatan kecemasan yang sedia dikerah.

Tambahnya, pihak kementerian juga sedang berhubung secara langsung dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berwajib untuk mendapatkan pengesahan mengenai data wabak terkini.

“Tindakan (KKM) berpandukan sains dan bukti, bukan desas-desus. Sebarang langkah tambahan hanya akan diambil selepas penilaian risiko yang cermat dan maklumat yang disahkan,” jelasnya.

Dzulkefly turut menekankan kepentingan pendekatan ‘One Health’ kerajaan, yang memantau kaitan antara kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar.

“Kita sedang membina sistem pertahanan yang bersifat mencegah serta tepat,” katanya.

BBC melaporkan Thailand telah mula menjalankan saringan ke atas penumpang di tiga lapangan terbang yang menerima pelawat dari West Bengal, sementara Nepal juga mula menyaring ketibaan di lapangan terbang Kathmandu dan pintu masuk sempadan darat dengan India.

Lima kes virus Nipah yang dikesan awal bulan ini melibatkan lima pekerja kesihatan di West Bengal, di mana seorang daripadanya kini dalam keadaan kritikal. Lebih 100 individu yang mempunyai kontak dengan mereka kini sedang dikuarantin.

WHO menyenaraikan Nipah sebagai salah satu daripada 10 penyakit paling utama, setaraf dengan virus seperti Covid-19 dan Zika, kerana potensinya yang tinggi untuk menyebabkan wabak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.