Virus Nipah: KKM laksana saringan bersasar pengembara India, Bangladesh

Virus Nipah: KKM laksana saringan bersasar pengembara India, Bangladesh

Antara langkah diambil di pintu masuk negara termasuk sistem imbas suhu badan, kata menteri kesihatan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berucap pada majlis pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung di Kompleks RHB Bangi.
BANGI:
Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan bersasar terhadap pengembara dari negara berisiko tinggi, khususnya dari India dan Bangladesh, yang tiba di Malaysia, sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan negara bagi mencegah penularan virus Nipah.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu dilaksanakan di semua pintu masuk negara dengan sistem pengimbas suhu badan diaktifkan sepanjang masa bagi mengesan simptom awal seperti demam dalam kalangan pengembara.

“(Pengembara) yang lain pun kita tak ambil ringan dan mustahaknya, saringan bersasar itu telah kita mulakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung di Kompleks RHB Bangi.

“Jadi kita akan terus (laksanakan) dan orang kata kita jangan selesa, kita telah belajar daripada virus Nipah sebelum ini.”

Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya mengenai kesiapsiagaan KKM susulan laporan tularnya wabak penyakit Nipah di West Bengal, India.

Setakat ini, tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia hasil kejayaan membendung wabak tersebut sejak September 1999.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah negara jiran yang mengintegrasikan saringan virus Nipah ke dalam aplikasi digital seperti MySejahtera, beliau menjelaskan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) akan menentukan keperluan tersebut dari semasa ke semasa.

“Kita akan lakukan berkadaran dengan keperluan dan tuntutan. Buat masa ini kita lakukan saringan bersasar di pintu masuk antarabangsa dahulu … yang lain akan terus bangun dan gerakkan. Perkara itu akan ditentukan oleh CPRC,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly turut ditanya berkaitan isu hutang rawatan kesihatan oleh warga asing kepada kerajaan yang kini mencecah RM102 juta, sebahagiannya melibatkan pendatang tanpa izin.

Bagaimanapun, katanya, jumlah hutang tersebut menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya.

“Kita akan terus mengadakan perbincangan dan langkah-langkah yang perlu (diambil) untuk kita dapat kurangkan (tunggakan),” katanya.

Sehingga 31 Dis 2025, jumlah tunggakan bil perubatan pesakit warga asing direkodkan sebanyak RM30.57 juta, iaitu penurunan 8.64% atau RM2.89 juta berbanding 2023 dan 2024.

Hutang pesakit pendatang tanpa izin mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM22.40 juta atau 73.30% daripada keseluruhan tunggakan pesakit warga asing pada 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.