503 kes baharu Tibi, Sabah catat rekod tertinggi

503 kes baharu Tibi, Sabah catat rekod tertinggi

Ia menjadikan bilangan keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.

batuk cough
Sabah mencatatkan jumlah kes Tibi tertinggi, iaitu 614 kes diikuti Selangor dengan 476 kes dan Sarawak dengan 257 kes, kata Kementerian Kesihatan. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis atau tibi dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026) menjadikan bilangan keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 614 kes diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).

Sebanyak 148 kes direkodkan di Pulau Pinang, Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Labuan (16 kes).

Sehubungan itu, menjelang musim perayaan dan cuti panjang, KKM menasihatkan orang ramai lebih peka terhadap pencegahan penyakit itu dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.

KKM juga menasihatkan individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau susut berat badan segera menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat.

“Langkah ini bukan sahaja berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri malah tanggungjawab sosial yang amat penting bagi melindungi diri, keluarga serta komuniti daripada risiko jangkitan penyakit berjangkit,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.