Kos urus NCD cecah RM64 bilion setahun, kata menteri

Kos urus NCD cecah RM64 bilion setahun, kata menteri

Dzulkefly Ahmad berkata KKM perlu beralih kepada strategi intervensi pencegahan berbanding pendekatan rawatan penyakit semata.

DZULKEFLY_AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata peruntukan mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD) lebih tinggi berbanding peruntukan disalur kepada KKM.
PETALING JAYA:
Kos mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD) negara kini mencecah RM64.3 bilion setahun, melebihi peruntukan keseluruhan Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.52 bilion tahun ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada pendekatan rawatan penyakit semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada strategi intervensi pencegahan dan pemerkasaan rakyat yang lebih berkesan.

“Kadar peningkatan kes diabetes di Hulu Langat terus membimbangkan apabila 2,847 kes baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun ini. Pada 2024 sebanyak 1,461 kes baharu dicatatkan dengan peningkatan 5.24%, manakala tahun lepas dengan 1,386 kes tambahan atau kenaikan 4.73%.

“Secara keseluruhan, jumlah kumulatif meningkat kira-kira 10.2%,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra.

Dzulkefly ketika mengulas penubuhan Wellness Hub berkata ia mencerminkan reformasi sistem kesihatan negara, sekali gus memperluas akses membina masyarakat yang lebih celik kesihatan.

“Usaha ini selari dengan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang menjadi panduan dalam melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berpengetahuan malah mampu membuat keputusan bijak demi kesejahteraan diri,” katanya.

Beliau berkata Wellness Hub turut berfungsi sebagai platform strategik bagi menangani isu kritikal negara seperti kanak-kanak bantut dan malnutrisi menerusi perkhidmatan rundingan pemakanan yang memperkasa ibu bapa dengan ilmu pemakanan seimbang sejak peringkat awal kehamilan sehingga 1, 000 hari pertama kehidupan anak mereka.

“Di sini, kami menerapkan pendekatan ‘Behavioural Insights’ atau sains tingkah laku. Kami tidak lagi hanya memberi arahan tetapi memberikan pilihan dan bimbingan untuk mendorong rakyat hidup lebih sihat melalui perubahan tabiat secara sukarela.

Dzulkefly berkata setakat ini lebih dua juta individu telah memanfaatkan pakej perkhidmatan di Wellness Hub bagi pengurusan faktor risiko kesihatan, dengan Wellness Hub di Hulu Langat menerima lebih 19,000 pelanggan pada tahun lepas.

Sebanyak 38 cawangan Wellness Hub kini beroperasi di seluruh negara termasuk lima fasiliti baharu yang mula beroperasi pada tahun ini di Kuala Selangor, Muar, Sibuti, Muallim dan Sandakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.