PSM putar belit fakta mengenai insentif cukai hospital swasta, kata Dzulkefly

PSM putar belit fakta mengenai insentif cukai hospital swasta, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata insentif itu bukan untuk meningkatkan keuntungan tetapi menyediakan akses penjagaan kesihatan swasta kepada pesakit kurang bernasib baik.

doctor
Insentif cukai dana kebajikan bertujuan menjadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mudah diakses untuk pesakit yang kurang bernasib baik. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menolak dakwaan seorang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) bahawa insentif cukai baharu yang diberikan kepada hospital swasta bagi merawat pesakit kurang berkemampuan bertujuan meningkatkan keuntungan korporat.

Sebaliknya, Dzulkefly berkata insentif itu bertujuan menggalakkan kemudahan kesihatan swasta menyumbang kepada masyarakat melalui penubuhan dana kebajikan.

“Dakwaan PSM memutar belit fakta. Ini bukan untuk keuntungan korporat. Dana tersebut mesti digunakan bagi pembedahan kritikal, ubat-ubatan dan peralatan perubatan untuk orang ramai. Sila semak fakta anda.

“Amat menghairankan apabila PSM menolak inisiatif yang menyediakan akses rawatan percuma kepada rakyat berpendapatan rendah. Jangan mempolitikkan atau memperalatkan isu kesihatan,” katanya dalam satu hantaran di X.

Skim itu, yang merupakan sebahagian daripada strategi RESET kerajaan, membolehkan hospital swasta memperoleh insentif cukai dengan menubuhkan dana kebajikan, manakala hospital yang menyumbang kepada dana tersebut layak menerima pengurangan cukai.

Inisiatif itu bertujuan menjadikan perkhidmatan kesihatan swasta lebih mudah diakses oleh pesakit kurang berkemampuan, dengan dana berkenaan digunakan untuk menampung rawatan, ubat-ubatan, program kebajikan dan saringan kesihatan.

Ahli jawatankuasa pusat PSM NG Gandipan menyifatkan insentif itu sebagai tidak adil, dengan berkata hospital swasta merupakan syarikat yang mencatat keuntungan tahunan tinggi sedangkan hospital awam terus berdepan beban berlebihan.

Beliau berkata skim tersebut tidak menangani masalah struktur dalam sistem kesihatan awam dan hanya membolehkan hospital swasta mengurangkan liabiliti cukai mereka.

Sebaliknya, Gandipan menggesa supaya cukai ke atas keuntungan hospital swasta dinaikkan, serta menuntut agar kemudahan tersebut menyediakan rawatan bersubsidi sebagai sebahagian daripada syarat lesen operasi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.