
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Fisol Salleh, berkata operasi dilaksana pada 10 Feb itu dijalankan di 154 lokasi sasaran dengan kekuatan 2,140 pegawai dan anggota polis serta agensi penguatkuasaan lain.
Beliau berkata, 141 premis perniagaan rokok elektronik diperiksa melibatkan 199 kes dan pihaknya turut merampas lebih 959 liter cecair vape serta 83,289 unit peranti.
“Lain-lain rampasan termasuk aksesori peranti, bateri, perkakas jualan dan rokok haram bernilai RM67,596,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Bukit Aman.
Fisol berkata, 181 individu diperiksa dan empat tangkapan dibuat membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita.
“Dua tangkapan melibatkan rakyat tempatan iaitu seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Tangkak, Johor serta seorang wanita dewasa yang dikehendaki polis berkait kesalahan Seksyen 182 Kanun Keseksaan di Ipoh, Perak.
“Dua lagi tangkapan melibatkan warga asing iaitu seorang lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan seorang lelaki warga Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tiada dokumen sah,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu antara lain bertujuan mengurangkan ketirisan hasil negara akibat aktiviti pasaran gelap serta menangani isu pengedaran rokok elektronik tidak berdaftar khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar.
Operasi diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA) itu melibatkan Briged Utara, Briged Tengah, Briged Tenggara, Briged Sarawak, dan Briged Sabah PGA selain Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Polis Marin (PPM) serta Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Turut terlibat petugas Kementerian Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pihak berkuasa tempatan.