
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata kedua-dua jenis mercun dan bunga api itu selamat digunakan kerana tidak mengandungi bahan letupan yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.
Bagaimanapun, beliau berkata penjualan mercun dan bunga api tersebut masih memerlukan permit daripada IPD yang berkaitan serta mestilah mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
“Sesiapa yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Fadil turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam bagi mengelakkan gangguan atau bahaya kepada orang awam.
Katanya, individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.
Beliau menegaskan bahawa memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, termasuk sempena mana-mana perayaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat serta mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.