Kualiti dan kepelbagaian, faktor ibu bapa bukan Cina pilih SJK

sjkc--1

KUALA LUMPUR: Ahmad Marwan Rahman, 36, menghantar anaknya ke sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, tidak seperti majoriti ibu bapa Melayu yang anak mereka belajar di sekolah kebangsaan.

“Kualiti sekolah SJK lebih baik, fokus dan pengurusan sekolah yang lebih sistematik dan hubungan antara guru dan ibu bapa sentiasa ada,” katanya kepada FMT.

Marwan merupakan antara statistik yang menunjukkan lebih ramai kaum bukan Cina kini memilih SJK Cina, menimbulkan persoalan sama ada sekolah kebangsaan semakin tidak digemari.

Beberapa tahun lalu, 12% daripada kanak-kanak SJK merupakan bukan Melayu, dan tahun ini jumlah itu naik kepada 18%.

Ia menimbulkan persoalan sama ada benar sekolah kebangsaan semakin jatuh mutunya, sehingga terhakis keyakinan ibu bapa terhadap keupayaan sistem pendidikan kebangsaan.

Sebahagian dakwaan ini benar. Bagi Marwan, SJK lebih cekap dalam menguruskan hubungan antara ibu bapa dan guru, dan lebih tersusun dalam menilai prestasi anak mereka.

“Segala butiran dan prestasi anak direkodkan dengan kemas dan sentiasa dimaklumkan kepada ibu bapa,” katanya.

Jumlah pelajar SJK juga tidak ramai berbanding sekolah kebangsaan, membolehkan guru memberi tumpuan lebih kepada anaknya.

Isu kualiti sekolah kebangsaan kembali hangat selepas bekas ahli Majlis Penasihat Pendidikan Negara, Prof Teo Kok Seong baru-baru ini mendedahkan ramai ibu bapa bukan Islam tidak selesa dengan sekolah kebangsaan yang terlalu menjurus kepada unsur Islam.

Rentetan itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerajaan akan memastikan sekolah kebangsaan tidak menjadi terlalu “Islamik”. Ia bagaimanapun mengundang kritikan beberapa kumpulan Islam yang berkata pendidikan agama tidak boleh dipinggirkan.

Pendidikan Islam

Seperti Marwan, Wan Hussein, 39, juga menghantar anaknya ke SJK.

Walaupun Melayu Islam merupakan minoriti, beliau tidak bimbang pendidikan agama untuk anaknya dipinggirkan di SJK, kerana pihak sekolah membenarkan sukatan pelajaran Islam termasuk bengkel solat.

Begitu juga, makanan di kantin yang dijamin halal.

Marwan mungkin kurang setuju, kerana baginya kurikulum agama tidak begitu menonjol di SJK.

“Kekurangan dalam kurikulum agama di sekolah Cina terpaksa diajar sendiri oleh ibu bapa dengan cara kelas tambahan agama,” katanya.

Hussein turut tertarik dengan kualiti dan sikap guru di SJK yang profesional.

Sesuatu yang diperhatikan di SJK ialah tahap keselamatan anak dititik beratkan.

“Murid yang lewat pulang, tidak akan ditinggalkan di sekolah tanpa pengawasan guru. Guru akan tetap menunggu sehingga murid terakhir selamat dijemput penjaga,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak pernah menyesal menghantar anak menimba ilmu di SJK,” katanya.

Pergaulan menjangkau satu bangsa

Sangeeta Ravi, 44, ibu kepada tiga anak turut menghantar anaknya ke sekolah Cina.

Beliau tertarik dengan keterbukaan sekolah menerima pelbagai bangsa.

“Ia dapat menguatkan lagi perpaduan antara kaum di samping dapat bertukar corak budaya yang berbeza,” katanya.

Nor Azlina Mohamad, 34, pula mengalu-alukan persaingan di SJK yang melibatkan murid pelbagai bangsa, dan ini memberikan kelebihan kepada anaknya.

“Saya nak dia tahu apa itu masyarakat majmuk dan tak mahu hanya bergaul dengan bangsa Melayu saja. Ini merupakan pendedahan awal yang saya buat daripada segi pergaulan supaya dia tidak kekok bila besar nanti untuk bercampur dengan bangsa lain,” katanya.

Berbeza dengan Marwan dan Hussein, Azlina menganggap kualiti SJK sama saja.

“Yang beza adalah pergaulan, persaingan itu mungkin lebih banyak, jadi dari situ kita tahu prestasi anak kita.”

Faizal Ismail, 45, berkata SJK lebih jelas fokus akademiknya, dan tidak terlalu menumpukan aktiviti sosial lain yang bukan akademik seperti di sekolah kebangsaan.

Beliau menceritakan pengalaman anaknya di sekolah kebangsaan.

“Setiap kali ingin menganjurkan program sosial, mereka memerlukan duit mencecah RM60 daripada pelajar dan kami banyak habiskan duit untuk aktiviti sosial berbanding akademik,” keluh Faizal.

Katanya, lebih baik wang itu dibelanjakan bagi tujuan akademik.

Rata-rata ibu bapa ditemui FMT berkata mereka tidak berniat merendahkan kualiti sekolah kebangsaan.

Mereka cuma berharap langkah proaktif diambil memastikan kualiti kedua-dua sekolah setaraf.