Selepas Ali Tinju tawar kerja amal, Jamal umum cetak 50,000 baju

jamal

KUALA LUMPUR : Selepas Presiden Gerakan Merah Mohd Ali Baharom menyasarkan 5,000 belia melakukan “kerja amal” yang menawarkan RM10 sejam, kini Ketua Gerakan Merah Datuk Jamal Md Yunos mengumumkan 50,000 ribu baju sudah tercetak untuk peserta tunjuk perasaan.

“Ini bukan main-main. Ini perkara serius,” tegas Jamal, yang kemudian menunjukkan baju merah yang akan dijual RM10 sehelai itu seusai sidang media.

Menurut Jamal, produknya itu boleh didapati di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ia akan dipakai peserta Himpunan Merah 2.0, yang diadakan sebagai jawapan kepada tunjuk perasaan Bersih 5.0 nanti.

Rancangan untuk mengadakan Bersih 5.0 timbul susulan inisiatif Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang mahu merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dikaitkan kepada 1MDB.

Menjawab rancangan itu, Gerakan Merah berkata pihaknya akan mengadakan himpunan balas bagi membantah cubaan Bersih 5.0 mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

“Kami tidak teragak-agak turun beramai-ramai pada hari, waktu, tempat dan masa yang sama,” kata Jamal kepada pemberita di perkarangan PWTC hari ini.

Himpunan Merah tahun lalu dilaporkan disertai lebih 50,000 orang peserta. Kali ini, Jamal mendakwa inisiatif Gerakan Merah mendapat sokongan daripada gabungan badan-badan bukan kerajaan seluruh negara.

Sebelum ini pada 9 Ogos lalu, Ali Baharom menyasarkan 5,000 belia untuk diturunkan ke program balas Bersih 5.0. Ditawarkan RM10 sejam, belia itu nanti akan memakai baju “Mempertahankan kerajaan, pemerintah dan negara” sepanjang melakukan ‘kerja amal’ di program tersebut.

Sementara di pihak Jamal pula, satu jelajah bakal diadakan bagi mengembleng kehadiran yang lebih ramai berbanding Himpunan Merah tahun lepas.

“Sehingga hari ini saya telah mengumpul 58,000 orang yang telah pun mengatakan bersetuju,” katanya.

Ditanya mengenai potensi pertembungan antara peserta kedua himpunan aman itu, Jamal berkata reaksi Gerakan Merah bergantung kepada tingkah laku peserta himpunan Bersih 5.0.

“Kalau mereka ikut peraturan kami ikut peraturan, tapi kalau mereka tidak ikut peraturan kami juga apa salahnya,” jawab Jamal.

Ditanya samada Gerakan Merah akan berunding dengan penganjur Bersih 5.0 supaya penganjuran acara masing-masing berjalan lancar, Jamal berkata pihaknya tidak mahu bertolak-ansur dengan “orang-orang hutan”.

“Kita dah bagi tahu untuk menumbangkan kerajaan mengantikan kerajaan mestilah menggunakan sistem demokrasi melalui Pilihan Raya Umum bukan menghasut rakyat turun ke jalanan,” tegasnya.

Penganjur Bersih 5.0 belum menetapkan tarikh himpunan aman mereka, begitu juga kumpulan Ali Baharom dan Jamal Yunos.