Tiga penjawat awam ditahan SPRM, aset RM13j disita dan dibeku

azam-baki-sprm

KUALA LUMPUR: Tiga penjawat awam – dua daripadanya bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ – ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata mereka yang masing-masing berkhidmat di jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Mereka yang berumur lingkungan 50-an ditahan dalam operasi serentak kira-kira pukul 12 tengah hari dan 2 petang tadi, katanya dalam kenyataan.

“Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta telah dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang yang ditahan.

“Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk unit penthouse dan rumah banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya.

Azam berkata wang bernilai lebih kurang RM400,000, termasuk mata wang asing, serta beberapa utas jam tangan mewah dijumpai dalam operasi berkenaan.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Di bawah kesalahan seksyen Akta SPRM 2009, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi,” katanya.

Bagi Akta Pengubahan Wang Haram pula, pelaku boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Azam berkata siasatan SPRM masih diteruskan dan ia akan meminta perintah reman daripada Mahkamah Majistret esok bagi semua yang ditahan.

Operasi berkenaan dibuat selaras dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad, kepada Bernama baru-baru ini yang mahu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.