Saingi Uber-Grab, SPAD perkenal skim bebas pemandu dari pajakan syarikat

Syed Hamid Albar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) mengumumkan skim untuk membebaskan pemandu teksi daripada pajakan syarikat, dalam usaha membantu mereka dalam lapangan persaingan sama rata menghadapi Uber dan Grab.

Skim itu sebahagian daripada 11 langkah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumum Pengerusi Spad Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini.

“Kita sedia maklum, sistem pajak memang menimbulkan masalah. Pembayaran secara ansuran kepada syarikat operator teksi untuk jangka masa lama pastinya membebankan pemandu teksi.

“Dalam sistem kita perkenalkan ini, kita membuka peluang kepada pemandu teksi memohon untuk mendapatkan geran bernilai RM5000 yang membolehkan mereka memiliki lesen teksi sendiri,” katanya, dan menambah kerajaan akan menarik balik pembelian pengeluaran lesen teksi individu bagi teksi kelas bermeter dan kereta sewa.

Paparan Spad di taklimat hari ini menunjukkan dalam model sedia, kerajaan mengeluarkan permit kepada syarikat, yang kemudian akan menyewakan permit atau kenderaan kepada pemandu. Penyewa permit atau kenderaan diwajibkan membayar sewa harian.

“Unsur sewaan dalam pajakan permit kenderaan dan terma kontrak berat sebelah menjejaskan mata pencarian pemandu teksi,” menurut paparan itu.

Pemberian lesen persendirian dibekukan sejak 10 Sept 2014. “Pemandu boleh memohon untuk mendapatkan geran ini bermula September depan,” kata Syed Hamid, dan menambah sejumlah RM150 juta diperuntukkan untuk membantu peralihan itu.

“Kerajaan mahu keanjalan. (Sekarang) lesen milik syarikat dan bukan milik mereka (pemandu). Mereka (pemandu) berhak pohon lesen individu. Sistem tidak adil? Kita boleh atasi.”

Disamping itu, skim ini akan digandingkan dengan aplikasi e-hailing, sistem yang dipopularkan perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab.

Di hujung punat telefon pintar, pengguna e-hailing hanya perlu mengetik destinasi dan kadar harga tetap akan dipaparkan. Spad akan membenarkan kadar tambang dinamik bagi teksi bermeter yang menggunakan e-hailing.

“Kita lihat permintaan terhadap perkhidmatan Uber dan Grab cukup memberangsangkan,” kata Syed Hamid. “Seiring dengan teknologi, kita tidak mahu industri teksi ketinggalan.”

Pemandu teksi juga boleh menggunakan sistem meter sedia ada, dengan struktur tambang baharu yang diselaraskan, serta kadar tambang baharu yang diselaraskan mengikut zon.

Menjadikan tawaran teksi lebih menarik, Spad juga akan membuka pilihan model bagi kegunaan teksi. Dalam sistem sedia ada, teksi jenis tertentu hanya boleh menggunakan kenderaan nasional.