AAM janji selesai tunggakan gaji 300 pekerja

aam-1

PETALING JAYA: Persatuan Automobil Malaysia (AAM) hari ini memberi jaminan akan melunaskan kesemua gaji 300 pekerja yang tertunggak sejak 4 bulan lalu.

Pengerusi AAM Datuk Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha menafikan menganiaya pekerja.

“Kita akan selesaikan secepat mungkin pekerja kita, jangan bimbang.

“Kita akan bayar gaji pekerja kita, kita sayangkan pekerja kita dan kita tidak ada niat untuk merosakkan pekerja kita,” katanya kepada FMT.

Ditubuhkan pada 1932 dengan cabang di seluruh dunia, AAM Malaysia mempunyai lebih 100,000 ahli yang membayar RM75 hingga RM125 setahun untuk mendapat khidmat bantuan kerosakan kereta 24 jam oleh persatuan tersebut.

Badan itu suatu ketika dahulu terkenal dengan pusat servis, dan masih mempunyai ahli setia.

Pada kemuncaknya, AAM diiktiraf sebagai jurucakap rasmi pemilik kenderaan bermotor Malaysia yang memperjuangkan hak pemandu.

Semalam, pekerja AAM mendedahkan gaji mereka tidak dibayar sejak 4 bulan lalu manakala sudah hampir setahun tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tunku Mudzaffar bagaimanapun menafikan syarikat itu berdepan masalah kewangan dan bakal ditutup.

“Hanya kita (AAM) sahaja yang tahu apa yang berlaku, setakat ini saya tidak mahu mengulas lanjut isu ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata Kementerian Sumber Manusia perlu mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah dihadapi pekerja AAM.

Presiden MTUC Abdullah Sani Abdul Halim terkejut dengan kemelut yang berlaku memandangkan AAM merupakan syarikat yang bertapak kukuh.

Beliau mendesak kerajaan membekukan aset AAM sekiranya mereka gagal melunaskan gaji pekerja.

“Perbuatan khianat pengurusan ini, tidak boleh diberi muka dan tindakan tegas perlu dimbil kerana ia terang-terangan melanggar akta pekerja, kebiadapan syarikat perlu diberi tindakan secara adil tidak boleh berkompromi.

“Sepatutnya pekerja juga perlu bertindak segera, sekiranya gaji tak dapat dalam waktu yang ditetapkan mereka terus melaporkan kepada pejabat buruh, tidak perlu tunggu sampai 4 bulan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/16/4-bulan-aam-tak-bayar-gaji-pekerja-ditarik-kereta-dihalau-rumah/