JPPM arah MTUC bubar sementara

JPPM arah MTUC bubar sementara

Menurut JPPM, MTUC gagal kemuka dokumen penting, seperti penyata kewangan beraudit dan butiran dana asing, seperti yang diarahkan bulan lepas.

Menurut JPPM, MTUC diarahkan pada 6 April untuk kemuka pelbagai maklumat dalam tempoh 30 hari, namun gagal kemuka beberapa dokumen.
PETALING JAYA:
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengarahkan agar Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dibubarkan sementara selepas kesatuan itu didakwa gagal mematuhi arahan untuk mengemukakan dokumen-dokumen penting.

Menurut perintah bertarikh hari ini yang dilihat oleh FMT, JPPM menyatakan bahawa MTUC diarahkan pada 6 April untuk mengemukakan pelbagai maklumat dalam tempoh 30 hari, termasuk rekod keahlian dari 2020 hingga 2025, penyata kewangan beraudit, minit mesyuarat serta butiran gabungan luar dan sumber dana.

Arahan tersebut juga menuntut MTUC menyediakan rekod penuh pemegang jawatan, prosiding siding perwakilan, dan pendedahan kewangan yang melibatkan sumber dana asing.

JPPM berkata, organisasi itu gagal mengemukakan dua kategori maklumat utama, iaitu penyata kewangan beraudit dan butiran dana asing, seperti yang dikehendaki menurut notis tersebut.

“Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan ini dibubarkan mulai dari tarikh perintah ini,” menurut notis itu.

Perintah itu dikeluarkan di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966, yang memberi kuasa kepada JPPM untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pertubuhan yang gagal mengemukakan butiran, penyata, atau dokumen yang dikehendaki.

MTUC merupakan badan induk terbesar di negara ini yang mewakili kesatuan sekerja dan kepentingan pekerja.

FMT telah menghubungi Presiden MTUC Halim Mansor, Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor dan Ketua Pengarah JPPM Zulfikar Ahmad untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.