
Ketua Pengarah Mohd Zulfikar Ahmad, berkata usaha itu merupakan sebahagian penambahbaikan berterusan terhadap Akta Pertubuhan 1966.
“JPPM mengambil maklum laporan media yang sedang tular ketika ini, berkaitan dakwaan penyelewengan dana melibatkan NGO dengan nilai berjumlah jutaan ringgit, yang turut dikaitkan dengan individu berpengaruh dalam media sosial.
“Laporan tersebut telah menimbulkan kebimbangan awam terhadap aspek ketelusan dan integriti pengurusan dana kutipan derma oleh pertubuhan berdaftar,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, sehingga 31 Mac lalu, JPPM menerima 314 aduan berkaitan dakwaan salah guna dana melibatkan pertubuhan berdaftar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 21,013 pertubuhan telah dibatalkan pendaftarannya bagi tempoh 2019 hingga 2026 atas pelbagai kesalahan, termasuk ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang,” katanya.
Zulfikar menegaskan, JPPM sentiasa komited dalam melaksanakan fungsi kawal selia secara telus, berintegriti, dan berlandaskan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) serta Perlembagaan setiap pertubuhan berdaftar di Malaysia.
Beliau berkata, JPPM memantau pengurusan dana pertubuhan melalui keperluan pematuhan seperti penyimpanan rekod kewangan yang lengkap, pembentangan penyata kewangan pada Mesyuarat Agung Tahunan serta pengemukaan dokumen kepada JPPM apabila diminta.
“Pemantauan ini merangkumi semua bentuk kutipan dana, sama ada secara fizikal mahupun melalui platform dalam talian termasuk media sosial,” katanya.
Dalam aspek penguatkuasaan, Zulfikar berkata JPPM melaksanakan semakan serta tindakan berdasarkan aduan, ketidakpatuhan atau pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.