
Laporan media mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan penyelewengan dana kira-kira RM230 juta yang sepatutnya membantu golongan susah mengundang reaksi meluas.
Ramai terkejut, marah dan tidak kurang juga kecewa dengan perkembangan itu. Reaksi itu boleh difahami kerana jumlahnya cukup besar dan tujuan asalnya pula begitu murni.
Dana dikumpul konon untuk membantu mereka yang memerlukan akhirnya menjadi tajuk siasatan jenayah, sesuatu yang mencalar kepercayaan masyarakat.
Lebih mengundang perhatian laporan penyitaan 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes-Benz, selain rumah serta hartanah bernilai kira-kira RM11 juta. Turut dirampas pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.
Pada masa sama, SPRM juga dilaporkan membekukan 33 akaun bank melibatkan jumlah kira-kira RM120 juta. Angka ini bukan sahaja besar, tetapi menggambarkan skala penyelewengan yang didakwa berlaku.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, NGO terbabit menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk sumbangan orang ramai dan komisen daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan. Namun, dana tersebut tidak sampai kepada sasaran sebenar.
Sebaliknya, jelas beliau, ada individu tidak bertanggungjawab yang menyeleweng dana itu untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset mewah. Pendedahan ini mengundang persoalan serius tentang integriti dan amanah.
Jika difikirkan, RM230 juta boleh membawa perubahan besar kepada kehidupan ramai orang. Dengan jumlah itu, ribuan keluarga miskin boleh dibantu mendapatkan makanan asas secara konsisten untuk tempoh panjang.
Dana sebesar itu juga mampu menampung kos rawatan pesakit kritikal yang sering bergelut dengan perbelanjaan perubatan tinggi. Ia boleh menjadi penyelamat kepada mereka yang bergantung harap kepada sumbangan awam.
Dalam aspek pendidikan pula, ia boleh menyediakan biasiswa, kelengkapan sekolah dan sokongan pembelajaran kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Masa depan generasi muda boleh dibentuk dengan lebih baik.
Malah, dana itu boleh digunakan untuk memperbaiki masjid atau surau, serta melengkapkan pusat tahfiz dengan kemudahan terkini. Pelajar bukan sahaja dapat mendalami ilmu agama, malah turut didedahkan kepada bidang seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk masa depan lebih luas.
Semua potensi ini menjadikan dakwaan penyelewengan itu lebih memilukan. Ia bukan sekadar soal wang, tetapi peluang yang hilang untuk membantu golongan benar-benar memerlukan.
Lebih membimbangkan, kes seperti ini berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap usaha kebajikan secara keseluruhan. Apabila kepercayaan terhakis, mangsa sebenar ialah golongan memerlukan yang mungkin terputus bantuan.
Bagaimanapun, penting juga untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh. Prinsip keadilan menuntut semua pihak diberi peluang membela diri sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Seseorang atau organisasi itu tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan menerusi proses telus.
Namun, tindakan tegas SPRM dalam kes ini wajar menggerunkan dan amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan atau menunggang kesusahan orang lain untuk kepentingan sendiri.
Kes ini juga menuntut kesedaran masyarakat. Orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam menyalurkan sumbangan, memastikan ia disalurkan melalui platform sah dan telus.
Selain itu, mekanisme pemantauan lebih ketat perlu dipertimbangkan termasuk garis panduan pengurusan dana, pelaporan berkala dan penggunaan teknologi bagi menjejak aliran wang.
Penerima sumbangan pula wajar mengamalkan pengisytiharan perbelanjaan secara terbuka serta menjalani audit berkala. Ketelusan bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mengekalkan kepercayaan.
Dana untuk orang susah adalah tanggungjawab besar dan sebarang pengkhianatan terhadapnya harus ditolak sekeras-kerasnya. Jangan sesekali mencabuli hak serta mengambil kesempatan atas penderitaan orang lain demi kesenangan diri sendiri.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.