Syarikat Bumiputera perlu kukuhkan asas dahulu, kata Teraju

Syarikat Bumiputera perlu kukuhkan asas dahulu, kata Teraju

Asas perniagaan seperti mengatur rekod kewangan penting agar syarikat dapat berkembang, menurut Teraju.

IKS
Nik Nazree Nik Abdul Rahman daripada Teraju berkata, sesetengah syarikat jana jualan tahunan lebih RM1 juta gagal dapatkan pinjaman untuk kembangkan perniagaan disebabkan rekod kewangan tidak teratur.
PETALING JAYA:
Sebuah agensi kerajaan berkata, syarikat Bumiputera perlu kembali kepada asas, menegaskan bahawa tadbir urus yang lemah telah membelenggu banyak perusahaan-perusahaan ini, sekali gus membantutkan keupayaan mereka mendapatkan pinjaman untuk berkembang.

Nik Nazree Nik Abdul Rahman daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berkata, sesetengah syarikat yang menjana jualan tahunan lebih RM1 juta gagal mendapatkan pinjaman kerana ‘rekod kewangan mereka tidak teratur’.

Nik Nazree Nik Abdul Rahman
Nik Nazree Nik Abdul Rahman.

Katanya, syarikat-syarikat ini misalnya gagal menyediakan penyata kewangan dengan betul atau melaporkan pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, sedangkan tugas-tugas sedemikian ialah perkara asas apabila menjalankan perniagaan.

“Kita perlu kembali kepada asas dan beritahu mereka, rekod kewangan mereka tidak boleh berterabur, dan ini prasyarat untuk mereka kembangkan perniagaan.

“Kena pastikan asas (perniagaan) kukuh. Ibarat pelajar yang ingin belajar algebra, mereka perlu faham dahulu asas matematik,” kata Nik Nazree, yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Strategik Teraju, kepada FMT.

Tambahnya, syarikat-syarikat Bumiputera ini hanya boleh maju ke tahap seterusnya apabila asas-asas tersebut dikukuhkan dahulu.

Nik Nazree mengulas lanjut kenyataannya bulan lepas, mengenai usaha mengukur kejayaan program menyokong perusahaan Bumiputera, yang sepatutnya dinilai berdasarkan sama ada inisiatif terbabit mencapai matlamat akhir, termasuk membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka.

Mengulas punca syarikat-syarikat ini tidak mempunyai asas perniagaan, Nik Nazree berkata, dalam sesetengah kes, usahawan terbabit terpaksa memulakan perniagaan sendiri mungkin kerana kehilangan pekerjaan.

Wabak Covid-19, katanya, merupakan pencetus perubahan yang menyaksikan ramai menukar haluan demi mencari rezeki, dan memandangkan mereka masih baharu dalam industri tersebut, fokus mereka terarah kepada usaha menjana pendapatan melalui jualan.

“Dan apabila anda terpaksa selesaikan masalah harian yang mendesak, walaupun syarikat menjana untung, kebanyakan (pengusaha) terlalu terbeban dengan urusan operasi.

“Penyimpanan rekod kewangan, strategi dan unjuran perniagaan bukan lagi keutamaan bagi mereka dalam situasi ini. Mereka sekadar hidup cukup-cukup makan,” katanya.

Nik Nazree berkata, apabila Teraju sedar bahawa syarikat-syarikat Bumiputera ini kekurangan asas perniagaan yang penting, pihaknya memperkenalkan tiga inisiatif baharu bergelar ‘Ascend, Enhance, Xcelerate’.

Secara kolektif, inisiatif-inisiatif pemudahcaraan yang dilancarkan pada Februari ini adalah antara empat program baharu yang bertujuan mewujudkan nilai perniagaan sebenar dan mempersiapkan syarikat-syarikat terbabit untuk pasaran tempatan serta serantau.

Nik Nazree berkata, inisiatif-inisiatif ini mewakili satu bentuk ‘campur tangan’ di pihak kerajaan, di mana Teraju menilai syarikat-syarikat ini dan memberikan bantuan bagi menangani keperluan khusus mereka.

“Kita tidak sekadar berikan ‘Panadol’ kepada syarikat-syarikat ini untuk baiki kelemahan mereka. Kita diagnosis ‘penyakit’ yang mereka alami dengan betul dan berikan ubat yang tepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.