MO1: Nawawi dakwa kenyataannya diputar belit

Langkawi MP Nawawi Ahmad

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad hari ini menafikan beliau mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan Malaysian Official 1 (MO1) yang dinamakan dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Nawawi berkata, beliau sekadar memberi tafsiran sendiri mengenai Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pemimpin nombor satu Malaysia ialah Agong.

“Saya tidak kata yang MO1 yang disebut DoJ adalah Agong. Saya tahu baginda tidak terbabit dengan 1MDB.

“Saya hanya memberi definisi mengikut Fasal 32 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan MO1 sebenar Malaysia ialah Agong. Saya tidak bercakap mengenai MO1 dalam konteks laporan DoJ itu.

“Jadi, saya berpendapat ia adalah salah untuk sesiapa sahaja mengatakan pegawai nombor satu Malaysia ialah orang lain, tetapi dalam apa jua cara pun, saya tidak mengaitkan Agong dengan laporan DoJ itu,” katanya kepada FMT hari ini.

Kontroversi timbul selepas Nawawi memuat naik status di Facebooknya pada Selasa lalu yang menyatakan Agong ialah MO1 bertanggungjawab terhadap kerajaan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, MO1 bukan perdana menteri, sebaliknya Datuk Seri Najib Razak adalah MO2, MO3 atau MO4.

Ia disusuli gesaan pelbagai pihak supaya Nawawi memohon ampun kepada Agong. Bekas ahli Umno, Anina Saadudin bersama tiga yang lain turut membuat laporan polis berhubung kenyataan itu yang didakwa satu penghinaan terhadap institusi diraja.

Sehubungan itu, Nawawi yang dalam perjalanan pulang dari Indonesia berkata, kenyataannya sengaja diputar belitkan dan beliau bercadang membuat laporan polis terhadap mereka yang memfitnahnya.

“Saya akan membuat satu laporan polis sama ada hari ini atau esok kerana saya didakwa secara tidak adil mengaitkan Agong kepada MO1 yang dinamakan DoJ.”

DoJ dalam laporannya bulan lalu mendakwa seorang MO1 yang tidak dinamakan didakwa menerima AS$731 juta yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Menurut maklumat yang diberikan DOJ, MO1 adalah “pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang turut mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB” dan individu itu adalah saudara kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.

Polis digesa tangkap Nawawi selepas mendakwa ‘MO1’ merujuk Agong

MO1: Nawawi tersasar jauh, tapi tak perlu Akta Hasutan