Najib janji penggantinya bakal terima kerajaan, parti kuat

najib-umno

TUMPAT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan menyerahkan kerajaan dan parti dalam keadaan yang kuat kepada pemimpin seterusnya bagi meneruskan legasi perjuangan pemimpin terdahulu.

Namun bagi merealisasikan hasrat itu, Najib yang juga presiden Umno berkata ahli parti perlu bersikap setia dan tidak menyerang parti walaupun berbeza pendapat dengan kepimpinan semasa parti.

“Perjuangan kita melewati pemimpin … bila bersara nanti saya nak serah kerajaan dan parti (yang kuat). Saya (akan) pesan (kepada pemimpin seterusnya) tolong bawa parti dan kerajaan (menjadi) lebih hebat daripada zaman saya,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tumpat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang, di sini hari ini.

Najib berkata sebab itu beliau menghargai bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pesanan kepada dirinya supaya membawa lebih banyak kejayaan kepada Malaysia berbanding apa yang beliau (Abdullah) sendiri lakukan.

Bila tiba masanya nanti, Najib berkata bukan menjadi hasratnya untuk mengganggu penggantinya dan jauh sekali bertindak menubuhkan parti baharu.

Beliau seterusnya berkata ahli parti mesti mempertahankan apa yang dibina Umno sejak sekian lama dan bukan bertindak meruntuhkannya.

Katanya, Islam sendiri menggalakkan penganutnya untuk menegur pemimpin dengan cara yang baik selain mengamalkan pendekatan musyawarah (mesyuarat) dan syura (perbincangan).

“Kita mesti mempertahankan parti, kukuhkan perjuangan. Sudah jadi pemimpin besar 22 tahun pun masih tak faham-faham … nak jatuhkan parti.

“Don’t cross the line (jangan melampaui batas). Parti warisan kita. Guna kaedah yang betul ikut konsep parti dan Islam,” katanya tanpa menamakan pemimpin berkenaan.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Ab Aziz.

Sementara itu, Najib berkata pemimpin Umno terutama di Kelantan perlu bersikap merendah diri dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan setempat jika mahu menang pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Katanya, pemimpin setempat juga perlu mengikis sikap ego jika tidak dipilih mewakili kawasan mereka dan perlu meletakkan maruah parti lebih tinggi berbanding kepentingan diri sendiri.

“Pemimpin kena turun padang, buat dengan perwatakan yang disenangi orang kampung. Jangan turun dengan kereta mewah. Janji tidak ditepati, sombong, ini pantang (bagi rakyat)… sesuaikan diri sebagai pemimpin dengan keadaan setempat.

“Bila letak maruah diri lebih tinggi daripada maruah parti (pasti) akan berlaku perpecahan. (Ketika itu) Jangan harap nak menang. Depan kata okay (tapi di) belakang kutuk pemimpin,” katanya.