
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata MCA juga perlu memohon maaf kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), PKR, DAP dan Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow, yang sebelum ini mendedahkan pihaknya sudah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dan bersetuju gereja di Ladang Brehma, Kajang yang terbengkalai itu dirobohkan.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Ng Chok Sin menuduh MPKj bertindak melulu dan melakukan perobohan di tengah malam tanpa pengetahuan penganut Katolik di situ.
“Inikah cara Pakatan menjaga hak agama orang bukan Islam di negeri ditadbir mereka,” soal Ng, yang turut menyalahkan Dr Wan Azizah, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Kajang.
Ong berkata kenyataan itu tidak bertanggungjawab kerana Ng sepatutnya mendapatkan maklumat sebelum membuat tuduhan.
“Maklumat mengenainya boleh diperolehi daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri selain Perseketuan Kristian Malaysia dan gereja Katolik yang terlibat,” katanya hari ini.
Paderi Julian pada 19 Ogos memberitahu penganut Gereja Holy Family di Kajang beliau bersetuju membenarkan MPKj meroboh gereja St Joseph itu, yang satu ketika dahulu digunakan pekerja Ladang Brehma.
Julian turut memaklumkan beliau menasihatkan paderi, Surain Durai Raj, yang pernah memimpin gereja itu, bekerjasama dan membantu pihak berkuasa tempatan memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Gereja kecil di Jalan Saujana pada asalnya dibina di Ladang Brehma untuk memenuhi keperluan pekerja Katolik di situ.
Ekoran penutupan ladang dan pembangunan di sekitar kawasan tersebut, gereja itu sudah tidak lagi digunakan dan menjadi bangunan tidak sah di rizab jalan.