
Penolong Pegawai Perhutanan, Rosmin Suhod dan Renjer Hutan, Ruslan Ayai cedera di tangan, kaki, paha dan punggung akibat dipukul dengan rotan dan kayu oleh tiga lelaki dipercayai dari Kampung Suang Punggur.
Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Datuk Sam Manan dalam satu kenyataan berkata, kejadian pada jam 12.20 tengah hari itu menyebabkan dua kakitangan itu terpaksa bersembunyi di kawasan hutan sementara menunggu bantuan.
Katanya, seorang lagi kakitangan jabatan itu, Mohd Nazriee Abdullaid yang menunggu dalam kereta turut didatangi sekumpulan lelaki menaiki kereta Perodua Viva berwarna hitam dan motosikal Honda EX5 berwarna coklat bersenjatakan rotan dan parang yang mengarahkannya meninggalkan kawasan itu serta mengancam untuk membakar kereta dipandunya.
Menurutnya, Mohd Nazriee terpaksa meninggalkan kawasan berkenaan dan meminta bantuan di Balai Polis Kota Belud dan kakitangan Jabatan Perhutanan di Pejabat Kota Belud.
Dengan bantuan 11 kakitangan JPS Kota Belud dan lapan anggota polis di tempat kejadian, Rosmin dan Ruslan yang bersembunyi berjaya diselamatkan.
Sam berkata, sebuah ambulans dari Hospital Kota Belud bersama seorang doktor dan tiga pembantu perubatan merawat Rosmin dan Ruslan yang cedera akibat serangan itu.
Katanya, kumpulan lelaki dipercayai dari Kampung Suang Punggur itu adalah kumpulan yang melakukan jenayah hutan melibatkan pengambilan kayu bantalan secara haram di hutan simpan sekitar kawasan kampung berkenaan.
Menurutnya, sebelum itu, sejumlah 83 kayu bantalan disita di tempat kejadian dan dipindahkan ke lokasi selamat sebagai barang bukti.
Beliau berkata, ketika melaksanakan pemindahan kayu terubah itu, mereka mendapati ada pokok direbahkan ke jalan raya bagi menghalang laluan di tempat kejadian, tetapi tiada individu atau kumpulan yang muncul.
Sam berkata, pada 29 Julai lalu, pihaknya menahan empat lelaki disyaki menebang dua pokok dalam kawasan Hutan Simpan Abai (Kelas V) di daerah Kota Belud.
Katanya, kejadian itu berlaku mungkin disebabkan mereka marah dan dendam dengan kakitangan Jabatan Perhutanan yang menangkap empat lelaki itu.
Beliau berkata, kes seumpama itu pernah berlaku pada 2 April 2009, di mana pemburu haram menyerang pegawai perhutanan daerah di Ulu Segama Malua, Lahad Datu dan tembakan dilepaskan ke arah Pos Kawalan Stesen Pemeriksaan Hutan, Jalan Silam Lahad Datu pada 9 Julai 2014.
Kejadian terbaharu ialah serangan orang Kampung Sugut di Beluran terhadap pegawai dan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Sabah, pada 14 Ogos 2015.