
Langkah itu diumumkan di majlis pelancaran pejabat Mindpearl Malaysia di Shah Alam hari ini, yang dihadiri Ketua Pegawai Perdagangan (COO) MAB yang baharu, Arved von zur Muehlen.
Sebelum ini, syarikat penerbangan negara itu mempunyai pejabat sokongan pelanggan di beberapa negara Asia dan Eropah, menyediakan bantuan kepada pelanggan pada masa terhad.
Kini, pelanggan dan penumpang MAB boleh mengharapkan sokongan pelanggan 24/7 dalam pelbagai bahasa Eropah dan Asia melalui dua pusat panggilan di Malaysia dan Fiji.
Pusat panggilan Mindpearl Malaysia akan melayan panggilan pengguna berbahasa Asia seperti Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia, Mandarin, Kantonis, Jepun, Korea dan Thai antara lain, termasuk Inggeris.
Manakala pusat panggilan di Fiji akan melayan panggilan pengguna berbahasa Eropah seperti Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Jerman.
Kerjasama MAB dan Mindpearl akan memberi syarikat penerbangan negara akses kepada teknologi yang canggih, menghapuskan pemisahan, perbaiki kecekapan dan menyelaras serta mempertingkat keseluruhan khidmat untuk pelanggan.
Bercakap kepada pemberita seusai majlis pelancaran itu, Muehlen berkata beliau sedia maklum keupayaan Mindpearl, kerana pernah bekerjasama dengan mereka semasa berkhidmat di Lufthansa.
“Mereka sangat profesional dan kita harapkan yang terbaik daripada mereka. Jika mereka berjaya, kita juga berjaya,” katanya, mengharapkan kerjasama itu akan menghasilkan kecekapan kos yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Mindpearl Willian Pattison juga yakin kerjasama itu akan menjimatkan kos MAB secara lumayan kerana operasi sokongan pelanggan kini dipusatkan di dua negara, bukan melalui pejabat seperti di Tokyo dan London dengan kos operasi yang lebih tinggi.
Julai lepas, CEO MAB Peter Bellew – selepas mengambil alih jawatan itu daripada bekas CEO Christoph Mueller – mengumumkan langkah penjimatan kos akan diteruskan dalam usaha meningkatkan produktivti dan kecekapan, melalui pelaburan dalam teknologi moden dan kerjasama yang menguntungkan.
Semalam, Bellew mengumumkan MAB berada di landasan yang betul untuk mencatatkan keuntungan lebih awal daripada sasaran 2018.