Tayangan filem Kanang Anak Langkau ditangguh

Tayangan filem Kanang Anak Langkau ditangguh

Penerbit kisah sejarah pahlawan Iban pada zaman pra kemerdekaan itu mahu menambah baik filem berkenaan, kata Finas.

Kamil-Othman_kal_600
KUCHING:
Tayangan filem ‘Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior’ terpaksa dijadualkan semula ke satu tarikh baharu berikutan beberapa penambahbaikan perlu dilakukan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman berkata mengikut jadual awal, filem tersebut seharusnya ditayangkan pada Ogos lepas, namun pihak penerbitan memohon untuk menangguhkannya.

“Filem itu sudah diluluskan tarikh tayangannya mengikut skim Syarat Wajib Tayang. Penerbit nak tayang filem tersebut pada Ogos lalu, namun 2 minggu sebelum itu, dia minta Finas tarik balik kerana hendak menambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program #tanyafinas di sini hari ini.

Ketika diminta memperinci punca tayangan filem itu terpaksa dijadualkan semula, Kamil berkata beliau dimaklumkan pihak penerbitan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

“Filem itu sudah berada dalam sistem agak lama. Saya dimaklumkan antara yang perlu ditambah baik ialah daripada segi bunyi, kualiti warna dan juga kesan khas,” katanya.

Filem terbitan Tangan Seni Sdn Bhd itu memaparkan kisah perjuangan pahlawan negara mendiang Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau.

Pada 27 Mac lalu, tayangan khas filem arahan Bade Azmi itu diadakan di Kuching.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.