Umat Islam Malaysia tidak boleh pilih sistem undang-undang, kata peguam

islam_law

PETALING JAYA: Rakyat beragama Islam tidak boleh diberikan kuasa untuk memilih tidak dikenakan undang-undang di bawah Mahkamah Syariah bagi kesalahan seperti berzina dan minum arak, kata peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader.

Beliau berkata ini kerana kuasa menjatuhkan hukuman terhadap seseorang terletak di bawah bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya syarie negeri.

“Cadangan memberi pilihan kepada rakyat memilih undang-undang mana hendak digunakan dengan menolak undang-undang syariah sangat tidak masuk akal dan menghina bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan peguam kontroversi, Siti Kasim yang mempersoalkan mengapa umat Islam di Malaysia tertakluk di bawah undang-undang Islam di Mahkamah Syariah sedangkan Perlembagaan Persekutuan ialah perundangan tertinggi negara.

Siti Kassim berkata rakyat beragama Islam di negara ini tidak sepatutnya dikawal menerusi undang-undang Islam, sekali gus menolak rang undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang sedang hangat didebatkan ketika ini.

“Saya tidak setuju cadangan Siti Kassim kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada dewan undangan negeri untuk menggubal perundangan mengenai orang Islam.

“Undang-undang jenayah, hal nikah cerai, harta pusaka dan lain-lain boleh digubal ke atas orang Islam tanpa pengecualian. Kenyataan Siti Kassim juga lebih kepada emosi dan tidak faham akidah Islam dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari ketika mengulas isu sama berkata Siti disarankan keluar dari Malaysia jika enggan patuh kepada undang-undang Islam negara ini.

Katanya, suka atau tidak seseorang harus akur dengan undang-udang ditetapkan di Malaysia khasnya hukuman di bawah Mahkamah Syariah.

“Kalau pergi Amerika Syarikat kita kena ikut undang-undang dia, di Malaysia undang-undang Islam orang tak puasa, berzina kena hukum. Maknanya tidak boleh kalau kita tidak mahu ikut undang-undang itu sebab kesalahan itu tidak ada bawah undang-undang sivil.

“Sama juga bagi bukan Islam kalau mereka minum arak atau bersekedudukan, kita tidak boleh marah pada mereka sebab undang-undang Islam hanya untuk Islam,” katanya kepada FMT.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/05/peguam-bidas-ruu-akta-355-wacana-bertukar-panas/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/07/saya-tak-menyesal-tunjuk-jari-kata-siti-kasim/