Haron Din koma, hanya tunggu masa, kata anak

haron-din_hospital_600

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang sedang menjalani rawatan jantung di sebuah hospital di California, Amerika Syarikat dalam keadaan kritikal.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Hamdi Haron, melalui satu pesanan WhatsApp kepada Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, yang dibaca FMT.

“Baba dalam keadaan koma, tolong sampaikan pada tuan guru ( Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan pemimpin PAS, doktor kata sudah tiada harapan.

“Pendarahan teruk, sekarang guna sokongan hayat, hanya tunggu masa untuk cabut mesin dan biar Baba pergi menemui Rabbul Alamin (Tuhan) dengan aman,” katanya jam 2.45 pagi.

Pesanan yang sama memberitahu setakat 6.04 pagi ahli keluarga masih menunggu masa untuk mencabut sistem sokongan hayat Haron Din.

Haron Din dilaporkan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Amerika Syarikat pada 2 April 2012. Pada Mac lalu, Haron menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara.