Mampukah Bersih menangi hati orang Melayu, soal akhbar Singapura

Shannon TeohPETALING JAYA: Memenangi hati pengundi nusa teras (heartland) Tanah Melayu lebih utama berbanding kehadiran simbolik peserta bangsa Melayu dalam tunjuk perasaan Bersih, tulis komentar di Straits Times mengingatkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil.

Ketua Biro Kuala Lumpur media Singapura itu, Shannon Teoh berkata Bersih berharap membetulkan dakwaan anti-Melayu yang dilemparkan dengan mengadakan kempen ceramah tujuh minggu di kawasan nusa teras mulai 1 Oktober.

Kumpulan itu mahu mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara pada 19 November mendesak perletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Shannon berkata “menyakinkan orang Melayu luar bandar untuk turut serta” himpunan itu memerlukan “lebih daripada sekadar beberapa ceramah oleh aktivits Bersih berpakaian kuning”.

Himpunan Bersih tahun lalu dituduh didominasi orang Cina, selepas Pakatan Rakyat berpecah, menyebabkan PAS menarik ballik sokongan dan “jentera parti yang patuh dan terlatih.”

Katanya soal benarkah ada alternatif kepada pemerintahan BN masih berlegar. Bagaimanapun, tambahnya lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dipandang tinggi dalam kalangan Melayu desa, dan mungkin boleh diyakinkan untuk sertai himpunan di Kuala Lumpur, sekiranya beliau mampu sertai sirkit ceramah.

“Perlu diingatkan bukan mudah untuk orang Melayu desa yang miskin berkunjung ke Kuala Lumpur kerana kos yang mahal. Walaupun ada yang menyahut seruan supaya hadir 19 November nanti, itu tak lebih dari isyarat simbolik semata,” tulis Shannon.

“Kejayaan sebenar Bersih apabila orang Melayu desa berkunjung ke pusat pengundian pada pilihan raya akan datang – dan sama ada mereka akan undi Najib atau tidak.”