Pemuda PAS desak wakil rakyat DAP mohon maaf kepada keluarga Haron Din

Ahmad-Fadhli-Shaari_jeff-ooi

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS (DPPM) mendesak ahli Parlimen DAP Jelutong memohon maaf kepada ahli keluarga Datuk Dr Haron Din dan memadamkan kenyataan biadap di Twitternya.

Ketua Penerangan DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Jeff Ooi adalah wakil rakyat paling kurang ajar di Malaysia kerana membuat kenyataan tidak sesuai susulan pemergian musyidul am PAS itu, sekaligus membayangkan kebenciannya terhadap pimpinan parti Islam berkenaan selama ini.

Katanya, ini bukan kali pertama Ooi membuat kenyataan biadap, kerana beliau pernah menggelar kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai kucing kurap, pada 2013, yang turut ditegur presiden partinya ketika itu, Karpal Singh pada Konvensyen DAP Pulau Pinang, tahun sama.

“Penggunaan perkataan kurang ajar dan biadap seperti ini sebenarnya sudah menjadi kebiasaan manusia bernama Jeff Ooi ini.

“Sebelum ini, beliau pernah menggunakan ayat orang Melayu ‘showed their middle fingers at their rulers’ (menunjukkan jari tengah kepada peraturan mereka), apabila merujuk instituti istana di Perak pada 2009,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haron meninggal dunia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat pada 10.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia) akibat komplikasi jantung.

Susulan itu, Ooi memuat naik status ‘Adios Harun Din. Let there be peace’ menerusi Twitternya semalam, sebelum mengubahnya kepada ‘Received a personal call awhile ago. So…Farewell. Let there be peace’.

Ahmad Fadhli berkata, ia adalah wajah sebenar DAP ketika menghadapi isu membabitkan agamawan yang dilihat tidak sejajar ideologi perjuangan sekular mereka.

“Buktinya, tiada pimpinan DAP yang menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan biadap Jeff Ooi tersebut,” katanya.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/16/mursyidul-am-pas-haron-din-meninggal-dunia/