Hasutan: Tian Chua dihukum 3 bulan penjara, denda RM1,800

tian-chua-sedition-act

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mendapati Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, atau Tian Chua, bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur menghasut sejurus selepas pilihan raya umum pada 2013.

Hakim Zulqarnian Hassan menjatuhkan hukuman 3 bulan dan denda RM1,800, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan terhadap ahli parlimen Batu itu.

Keputusan itu bermakna pemimpin PKR itu tidak hilang kelayakannya sebagai wakil rakyat.

“Tidak ada syak ucapannya ada kecendurangan menghasut orang ramai menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah,” kata Zulqarnian.

Tian Chua, yang diwakili peguam N. Surendran dan Latheefa Koya, didakwa mengeluarkan ucapan bebaur hasutan mengajak orang ramai turun ke jalan raya bagi membantah kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) mengeluarkan ucapan itu pada sebuah program di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei 2013, seminggu selepas PRU ke-13. Ia boleh membawa kepada denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga 5 tahun.

Beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis lain sebelum ini turut didakwa menghasut pada program sama, termasuk Hishamudin Rais, Adam Adli, Safwan Anang, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara terhadap Safwan, yang juga pengerusi Solidariti Mahasisiwa Malaysia (SMM).

Hukuman itu kemudian diubah kepada denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi. Pendakwa raya bagaimanapun mahu Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen. Kes Safwan ditangguh Julai lalu bagi memberikan Mahkamah Rayuan peluang meneliti kes.