
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak berkuasa giat mengesan dan mencari pihak yang “melontar batu sembunyi tangan” hingga memberi kesan kepada 1.3 juta pengguna di sekitar Lembah Klang sejak Khamis minggu lalu.
“Kita akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan kerana menjejaskan hidup orang ramai,” katanya selepas Majlis Pelancaran Anugerah Industri Hijau, hari ini.
Sehubungan itu, Wan Junaidimenggesa orang ramai tidak menuding jari kepada Jabatan Alam Sekitar, kerajaan negeri Selangor atau pihak Loji Rawatan Air Semenyih disebabkan pencemaran yang mengakibatkan penutupan loji air.
“Jangan hanya pandai menuding jari, tetapi semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan perkara ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.
Loji Rawatan Air Semenyih ditutup beberapa kali berikutan pencemaran bau. Pihak berkuasa mula mengesan pencemaran pada 22 September lalu dan segera menjalankan siasatan.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca pencemaran dan ia dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi.
Kawasan terjejas ialah daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.
Mengenai Anugerah Industri Hijau, Wan Junaidi berkata, ia akan menjadi pendorong kepada premis dan industri lain untuk memberikan komitmen dalam mempraktikkan amalan industri hijau dan menerapkan elemen Pengeluaran Bersih (CP) dalam proses pembuatan dan penghasilan produk.
F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd diumumkan pemenang Anugerah Industri Hijau 2016 dan menerima wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil.
Anugerah Industri Hijau juga memberi pengiktirafan kepada 3 pemenang bagi Kategori Pengurusan Alam Sekitar (F&N Beverages Manufacturing Sdn Bhd), Kategori Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (Yong Fong Rubber Industries Sdn Bhd) dan Kategori Mengagenda Industri Hijau (Ong Chuan Hin Rice Mill Sdn Bhd).
Pemenang bagi setiap kategori itu menerima wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.