Kerajaan laksana titah Sultan Selangor tamatkan penternakan babi

Kerajaan laksana titah Sultan Selangor tamatkan penternakan babi

Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan melaksanakan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebaik mungkin.

Amirudin Shari
Amirudin Shari berkata pentadbirannya komited menyelesaikan polemik yang berlarutan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan negeri akan melaksanakan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu aktiviti penternakan babi di negeri itu ditamatkan sepenuhnya.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri komited untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan polemik yang berlarutan.

“Sultan Selangor telah mengeluarkan titah semalam dan kerajaan negeri akan melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya ditemui selepas satu majlis.

Semalam, Sultan Sharafuddin menyeru supaya isu penternakan babi di Selangor ditamatkan sepenuhnya berikutan kesan terhadap alam sekitar serta mengambil kira komposisi demografi penduduk negeri itu.

Justeru itu, Sultan Sharafuddin bertitah supaya kerajaan dapat memberikan lesen mengimport daging babi bagi memenuhi keperluan orang bukan Islam di Selangor.

Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa membenarkan ladang-ladang tersebut beroperasi akan mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.

Sebelum ini, campur tangan Sultan Selangor menyebabkan kerajaan negeri membatalkan cadangan untuk memusatkan industri penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Mengulas isu berkaitan kebimbangan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, Amirudin berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.