UKM dan IUKL pula nafi beri PhD kepada Azizan Osman

azizanPETALING JAYA: Selepas Universiti Malaysia (UM), 2 lagi universiti tempatan tampil menafikan penganugerahan ijazah doktor falsafah (PhD) kepada perunding motivasi yang menghasilkan beberapa buku mengenai pemasaran dan menganjurkan seminar motivsi.

Dua universiti itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL).

Menurut laporan Berita Harian, jurucakap Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan pihaknya tidak pernah menyenarai nama individu bernama Azizan Osman sebagai penerima anugerah PhD universiti berkenaan.

Malah, pihaknya turut membuat semakan bagi mengesahkan tiada individu dengan nama sedemikian memiliki PhD dalam jurusan psikologi seperti yang didakwa.

“Sebaik isu ini diperkatakan, pihak Pusat Siswazah terus membuat semakan dan tiada individu dengan nama Azizan Osman memiliki ijazah PhD dari UKM,” katanya seperti yang dipetik dari Berita Harian.

Manakala, IUKL menerusi satu kenyataan medianya pula membuat pengesahan tidak pernah menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan mahupun PhD kepada Azizan Osman.

“IUKL mengesahkan anugerah Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD tidak pernah dianugerahkan kepada Azizan Osman seperti yang disebarkan dalam media sosial hari ini,” katanya.

Pautan:

UM nafi anugerahkan ijazah kedoktoran kepada ‘pakar motivasi’