Politeknik distruktur semula dengan pengajian ijazah, sarjana

Politeknik distruktur semula dengan pengajian ijazah, sarjana

Langkah itu bertujuan memastikan institusi berkenaan mampu memenuhi keperluan industri masa kini dan akan datang.

KPT sedang meneliti semula akta berkaitan dan dijangka mengemukakan cadangan penstrukturan semula melibatkan semua 36 politeknik.
PONTIAN:
Kerajaan sedang merangka usaha penstrukturan semula 36 politeknik di seluruh negara bagi memperkasa peranannya agar tidak lagi terhad kepada penawaran sijil dan diploma semata-mata, sebaliknya berupaya menawarkan pengajian pada peringkat ijazah dan sarjana.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, berkata langkah itu bertujuan memastikan institusi berkenaan mampu memenuhi keperluan industri masa kini dan akan datang, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.

Beliau berkata, kementerian sedang meneliti semula akta berkaitan dan dijangka mengemukakan cadangan penstrukturan semula melibatkan semua 36 institusi itu pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Kita akan lihat secara keseluruhannya termasuk dari segi ekosistem politeknik dan juga kursus yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan dan keperluan masa kini dan juga masa hadapan.

“Sebagai contoh dalam bidang kecerdasan buatan (AI), elektrik dan elektronik (E&E) dan juga semikonduktor, Malaysia antara negara pengeluar semikonduktor yang besar di dunia,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah Kolej Komuniti Pontian di Kompleks Penghulu Mukim Benut, di sini hari ini.

Zambry berkata, peranan politeknik perlu dilihat semula termasuk struktur sedia ada kerana ia tidak boleh lagi berfungsi sekadar pada peringkat kemahiran pertengahan atau rendah.

“Kita perlukan politeknik yang lebih tinggi dan dapat melahirkan tenaga mahir dalam bidang-bidang yang saya sebutkan. Kalau kita lihat model politeknik yang terbaik di seluruh dunia, mereka juga turut mengemukakan idea-idea besar ini,” katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata projek bagi pembinaan Kolej Komuniti Pontian itu akan dilaksanakan di atas tanah seluas lapan ekar milik Kementerian Pendidikan (KPM), yang dipindahkan hak milik kepada KPT.

Projek dengan peruntukan sebanyak RM70 juta itu dijangka memulakan pembinaan tahun hadapan dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2028 atau 2029.

“Kolej itu akan memfokuskan bidang agroteknologi, pertanian lestari dan keusahawanan bagi memenuhi keperluan industri setempat mengikut cadangan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga timbalan menteri kerja raya memaklumkan program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) di Pontian akan dimulakan dalam tempoh dua minggu lagi di Kompleks Penghulu berkenaan sementara menunggu bangunan tetap kolej komuniti itu siap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.