Rekaan masjid arkitek wanita Bangladesh menang anugerah

Rekaan masjid arkitek wanita Bangladesh menang anugerah

Marina Tabassum menerima Anugerah Aga Khan untuk Seni bina bagi mengiktiraf reka bentuk Masjid Baitur Rouf ciptaannya.

bangladesh-bait_ur_rouf_mos
DHAKA: Sebagai satu-satunya arkitek wanita di Bangladesh di mana wanita jarang memasuki masjid, Marina Tabassum membuat pilihan tidak konvensional apabila mereka bentuk Masjid Baitur Rouf di negara itu, yang baru saja memenangi anugerah berprestij antarabangsa.

Tetapi ada yang sedikit konvensional mengenai Marina, 45, atau rekaannya, yang tidak menggunakan menara dan kubah tradisional untuk membentuk struktur bangunan setingkat dengan batu bata tanah liat itu, dan kekal sejuk meskipun pada musim panas.

Sama seperti semua wanita konservatif di Bangladesh, Marina juga hampir tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid ketika diarahkan mereka bentuk bangunan itu pada 2005 selepas neneknya mendermakan sebidang tanah.

Beberapa masjid di Bangladesh menyediakan kawasan khas untuk jemaah wanita, dan kebanyakan wanita bersolat di rumah masing-masing.

Tetapi, Marina melawat lebih 100 masjid sebelum mereka bentuk Masjid Baitur Rouf yang terletak di utara Dhaka, dengan memfokuskan untuk menyediakan bangunan yang tenang di sebuah kejiranan miskin di salah satu bandar paling sesak di dunia.

“Tradisi kami ialah wanita tidak ke masjid untuk sembahyang di benua kecil India, tetapi saya berpeluang melihat beberapa ruang kerohanian yang sangat cantik. Ia menjadi inspirasi kepada saya,” katanya.

“Keseluruhan idea kerohanian sebagai elemen dalam reka bentuk menjadi sesuatu yang menarik dan saya suka bekerja dengan ruang kerohanian.”

Marina, yang muncul sebagai salah seorang arkitek terkemuka selepas mereka bentuk Muzium Kemerdekaan Dhaka berkata gendernya tidak menyekat kerjayanya.

“Saya melihat diri saya sebagai seorang profesional,” katanya.

Penyaman udara semula jadi

Anugerah Aga Khan untuk Seni bina diberikan setiap 3 tahun untuk seni bina cemerlang dalam komuniti Islam. Tahun ini, hadiah AS$1 juta dikongsi 6 projek di seluruh dunia.

Juri berkata, masjid Dhaka “mencabar status quo”, memuji “kesederhanaannya yang membolehkan refleksi dan tafakur dalam sembahyang”.

Secara rasminya sekular tetapi kebanyakan Muslim Bangladesh menyimpan banyak sejarah dalam pembinaan masjidnya, bermula sejak pencerobohan Turki pada abad ke-13.

Marina berkata beliau cuba memasukkan “kegemilangan tradisi yang hilang” dalam reka bentuk masjid dengan amalan seni bina kontemporari.

Sejak ia siap pada 2012, Masjid Baitur Rouf menarik ramai pelawat dari seluruh negara – dan ia menggembirakan imamnya, Deen Islam.

“Tidak seperti masjid lain di negara ini, ia tidak mempunyai menara, atau kubah atau mimbar untuk menyampaikan khutbah Jumaat. Tetapi pelawat melihat ia sebagai masjid paling cantik di negara ini,” kata imam yang berusia 38 tahun itu.

“Pencahayaan sederhana yang memasuki masjid sangat menenangkan. Meskipun pada hari panas, suhu di dalam kekal sederhana. Anda rasa seperti dalam penyaman udara semula jadi.”

Berdozen tingkap kecil di bumbung dan dinding mencipta cahaya lembut yang berubah-ubah sepanjang hari apabila matahari menerpa bangunan itu, sementara batu-bata tanah liat tradisional yang digunakan mendinginkan ruang dalaman.

Marina juga mengajar pelajar seni bina dan berkata beliau sangat memilih mengenai projek yang diterima, dan setiap daripadanya perlu ada nilai sosial.

“Kami negara yang masih sangat muda dan menjadi tanggungjawab arkitek untuk bukan saja mereka bentuk bangunan cantik.

“Kami boleh mereka bentuk bangunan seperti Frank Gehry. Tetapi saya akan persoalkan sama ada ia sesuai untuk dibuat di negara seperti Bangladesh, di mana ekonominya masih tidak dibangunkan,” katanya.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.